Laman Utama Berita Terkini Alam Sekitar KEBERSIHAN SUNGAI TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK
KEBERSIHAN SUNGAI TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK PDF Print E-mail
Written by Vanitha Vasu   
Monday, 16 May 2011 14:58

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai” yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan  mengindahkan lembangan sungai. Walaupun begitu, semenjak kebelakangan ini, isu pencemaran lembangan sungai kian serius sehingga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan di kebanyakan lembangan sungai di Malaysia.

Mengikut laporan Indeks Kualiti Air, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), terdapat sebanyak 185 lembangan sungai di Malaysia. Pada tahun 2000, sebanyak 52 lembangan sungai telah dicemari oleh pepejal terampai daripada pembangunan tanah yang tidak terancang. Lapan belas lembangan sungai pula mengandungi oksigen yang rendah kerana pelepasan kumbahan industri. Sebanyak 33 lembangan sungai pula mengandungi nitrogen ammonia akibat pencemaran ladang ternakan haiwan dan buangan sisa pembentungan.

JAS juga melaporkan pada tahun 1990, 7.8% lembangan sungai yang dipantau telah dikategorikan sebagai tercemar. Tetapi pada tahun 2000 pula, 11% lembangan sungai dikategorikan sebagai tercemar. Pada tahun 2008, hampir separuh daripada lembangan sungai yang dipantau dikategorikan sebagai tercemar atau sedikit tercemar. Menurut Jabatan Alam Sekitar lagi, 48% daripada pencemaran sungai disebabkan oleh loji rawatan kumabahan, 45% berpunca daripada industri pembuatan dan 4% disebabkan oleh ladang ternakan dan pertanian.

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen sayangi sungai memberikan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara ini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri. Dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Walau apapun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran beberapa batang sungai semakin teruk sehingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.   

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan oleh sikap rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai terus tercemar.

Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan ataupun tidak, secara berterusan menganggap sungai seperti tempat buangan najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu, semuanya berada dalam kedudukan yang membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Walaupun kini pemaju perumahan tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, namun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cintai sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada pelajar di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Walaupun terdapat pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini tetap berterusan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kilang yang membuang sisa dan sisa toksik secara berterusan ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya jika ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa, tetapi sekiranya ada keazaman dan perancangan yang rapi, ia dapat dilaksanakan dengan baik. Sudah tentu sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia

 

 

Tweet Me

NCCC - E-Aduan

Klik disini untuk membuat Aduan secara online
Atau
Hubungi Kami di talian
03 7877 9000
untuk membuat aduan

NCCC - Pusat aduan setempat bagi membantu para pengguna menyelesaikan masalah dan aduan pengguna

 

Sertai Kami di Facebook

Subscribe Newsletter

Report PRODUCT SAFETY INCIDENTS

Consumers and businesses can lodge report regarding incidents cause by the products they or their customers use.

Click below for consumers' incident report form



and

Click below for business incident report form.


Click here to go to the APEC PSIISS website


Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.