Laman Utama Berita Terkini Alam Sekitar MAHKAMAH KHAS UNTUK PERLINDUNGAN ALAM SEKITAR WAJAR DIWUJUDKAN
MAHKAMAH KHAS UNTUK PERLINDUNGAN ALAM SEKITAR WAJAR DIWUJUDKAN PDF Print E-mail
Written by Foon Weng Lian   
Thursday, 26 January 2012 12:28

Baru-baru ini terdapat akhbar yang melaporkan bahawa sebuah mahkamah khas bakal ditubuhkan untuk membicarakan kes-kes yang berkaitan dengan alam sekitar. Cadangan ini telah dikemukakan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria. Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) amat mengalu-alukan cadangan tersebut demi kepentingan perlindungan alam sekitar di Malaysia.

Keadaan alam sekitar yang semakin merosot di negara ini menyebabkan kesan-kesan yang buruk seperti pencemaran sumber air dan udara. Selain itu, penggunaan tanah yang tidak terancang dan pengurusan sampah sarap yang lemah turut memburukkan keadaan ini.

WECAM berpendapat bahawa dengan adanya mahkamah khas tersebut, peraturan berkaitan alam sekitar dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan. Di samping itu, penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang alam sekitar juga akan meningkat pada masa yang akan datang untuk melindungi alam sekitar.

Cadangan Ketua Hakim ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan badan kehakiman dapat berperanan dalam melaksanakan dasar dan peraturan berkaitan alam sekitar. Ini selarasnya dengan usaha negara yang menuju ke arah pembangunan mampan.

Pada masa yang sama, langkah ini dapat meningkat dan menegakkan keadilan alam sekitar, apabila kebanyakan projek pembangunan ekonomi yang dijalankan adalah bertentangan dengan perlindungan alam sekitar. Justeru, kewujudan mahkamah khas ini menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap masalah alam sekitar dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

 

 

Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.