Laman Utama Berita Terkini Kesihatan BAHAYAKAH NANOTEKNOLOGI DALAM MAKANAN KITA?
BAHAYAKAH NANOTEKNOLOGI DALAM MAKANAN KITA? PDF Print E-mail
Monday, 26 July 2010 16:53

Nanoteknologi melibatkan sesuatu bahan atau sebatian dalam skala nanometer - satu per bilion meter. Pasaran untuk produk yang mengandungi bahan nano dijangka mencapai RM8.84 trilion pada tahun 2015.

Laporan Government Accountability Office (GAO) untuk nanoteknologi menyatakan bahawa:
nanoteknologi digunakan secara meluas dalam perdagangan, tetapi pihak berkuasa mempunyai halangan untuk menentukan risikonya.

GAO mengenal pasti kebanyakan produk yang terdapat di pasaran adalah hasil daripada nanoteknologi. Sebagai contoh, makanan, kosmetik dan pertanian.

Namun, sejauh manakah nanoteknologi mendatangkan bahaya terhadap kesihatan manusia dan persekitaran? Tiada bukti yang kukuh bahawa ia adalah selamat, dan hanya bergantung kepada kombinasi dan tahap toksik bahan nano itu serta cara pendedahannya.

Walaupun semakin hari semakin banyak pertubuhan yang terlibat dengan kajian nanoteknologi, tetapi pengetahuan saintis kepada risiko nanoteknologi adalah rendah.

Kebelakangan ini, Kesatuan Eropah telah menjalankan penilaian risiko pada nanoteknologi. Penemuan baru ini mendorong para saintis mencadangkan bahan nano dilarang dalam produk makanan sehingga risikonya diketahui. Saintis tidak dapat memastikan sama ada bahan nano boleh berpindah daripada bungkusan ke dalam makanan atau tidak.

Dalam usaha untuk menilai bahan nano, pihak berkuasa berulang kali mengunakan ungkapan seperti ’ketidakpastian, pengetahuan terhad, sukar untuk dikesan dan diukur keracunannya’ dalam produk yang berkaitan dengan makanan. Penggunaan ungkapan ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa Keselamatan Makanan Europah berpendapat bahawa kekurangan pengetahuan terhadap nanoteknologi telah menyusahkan proses penilaian risiko. Ia hanya dapat dilakukan mengikut kes demi kes berdasarkan keperluan pasaran.

April lalu, Parlimen Eropah mengatakan bahawa semua produk nano harus ditarik dari pasaran sehingga keselamatannya dibuktikan. Selain itu, satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengawasi keselamatan nanoteknologi mencadangkan agar semua makanan nano dinilai untuk keselamatannya sebelum diluluskan untuk kegunaan dan pelabelan.

Kesimpulannya, penilaian keselamatan sepatutnya dilakukan sebelum sebarang produk nano dipasarkan. Keselamatan pengguna tidak boleh dikompromikan.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

 

Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.