Laman Utama Berita Terkini Perubahan Iklim PENDEKATAN TANGANI PEMANASAN GLOBAL
PENDEKATAN TANGANI PEMANASAN GLOBAL PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Tuesday, 07 September 2010 11:27

Bagi menangani isu perubahan iklim yang membawa kepada pemanasan global, kerajaan telah mengambil langkah dengan menjalankan inventori gas-gas rumah hijau pada tahun 2000 untuk mengenal pasti punca-punca utama yang menyumbang kepada gas-gas rumah hijau di negara ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah membuat persediaan serta menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi menangani perubahan iklim dan impaknya melalui dua pendekatan iaitu Pendekatan Mitigasi dan Pendekatan Adaptasi.

Pendekatan Mitigasi adalah langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana, manakala Pendekatan Adaptasi pula ialah langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan kesan perubahan iklim kepada manusia dan alam sekitar.

Antara program yang merangkumi langkah mitigasi adalah seperti meningkatkan bekalan dan penggunaan bahan api alternatif seperti tenaga yang boleh diperbaharui dengan menggalakkan penggunaan sisa pepejal, menggalakkan kecekapan tenaga dalam setiap sektor serta melindungi kawasan hutan melalui pengurusan hutan secara lestari.

Langkah-langkah adaptasi pula meliputi perkara-perkara seperti menjalankan kajian Coastal Vulnerability Index (CVI), menjalankan program mengukuhkan pesisiran pantai, membangunkan pengurusan zon pesisiran pantai bersepadu (Integrated Coastal Zone Management) serta melaksanakan program kawalan banjir seperti Projek Stormwater Management and Road Tunnel (SMART).

Selain itu, kempen kesedaran awam perlu diadakan bagi menyedarkan orang awam serta para pelajar tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau sehingga wujudnya masalah pemanasan global yang boleh mengundang kepada pelbagai bencana alam.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.