Laman Utama Berita Terkini Perubahan Iklim BENARKAH PARAS LAUT NAIK SEBANYAK 10CM SETAHUN?
BENARKAH PARAS LAUT NAIK SEBANYAK 10CM SETAHUN? PDF Print E-mail
Written by Foon Weng Lian   
Friday, 27 May 2011 12:58

Pada minggu lalu, terdapat laporan akhbar yang mengatakan paras laut di Malaysia akan meningkat sebanyak 10cm setiap tahun. Selain itu, menjelang tahun 2020 pula, beberapa tempat di Malaysia akan ditenggelami air laut. Tempat-tempat yang diramalkan tersebut adala Pulau Pinang, Batu Pahat, Melaka, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.

Walaupun laporan berita tersebut menimbulkan kegemparan, namun timbul kesangsian tentang kebenaran laporan tersebut, iaitu tentang kadar peningkatan paras laut sebanyak 10cm setahun.

Menurut hasil kajian NAHRIM pada 2006, unjuran menunjukkan bahawa 10-13cm paras air laut akan meningkat menjelang tahun 2100 dengan purata peningkatan 1.3mm setiap tahun.

Selain itu, hasil laporan kajian sains yang baru-baru ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Artic Monitoring and Assessment Programme (AMAP) meramalkan bahawa menjelang tahun 2100, paras air laut dunia akan meningkat sebanyak 1.6m, dengan purata peningkatan sebanyak 1.7cm setiap tahun.

Adalah sukar untuk membayangkan apa akan berlaku sekiranya laporan akhbar tersebut adalah benar mengenai peningkatan sebanyak 10cm setiap tahun. Menjelang tahun 2100, jumlah peningkatan paras air laut adalah sebanyak 9m. Jika ini berlaku, berkemungkinan seluruh Malaysia, mahupun dunia, akan ditenggelami oleh air laut.

Oleh sebab itu, hasil kajian sains ini harus menjalani penilaian dan boleh didapati oleh orang awam supaya langkah-langkah pencegahan diambil.

Walaupun angka-angka adalah berlainan dalam kajian yang berbeza, apa yang pasti ialah peningkatan paras laut sedang berlaku dalam kadar yang cepat disebabkan oleh perubahan iklim.

Kerajaan seharusnya menyediakan garis panduan dan perancangan yang lengkap agar penduduk-penduduk yang menduduki kawasan berkenaan boleh menyesuaikan diri kepada perubahan tersebut. Pelaksanaan dan penguatkuasaan merupakan kunci utama kepada adaptasi terhadap kesan perubahan iklim dalam masa depan. Segala usaha itu mesti dimulakan sekarang juga.

Pelepasan gas rumah hijau yang berterusan dan secara berlebihan ke atmosfera merupakan sebab utama kenaikan paras air laut dunia. Dalam Copenhagen COP15, Perdana Menteri Malaysia telah berjanji bahawa Malaysia akan mengurangkan sebanyak 40% pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2020.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

 

 

Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.