Laman Utama Berita Terkini Perubahan Iklim AKTIVITI PENGGUNA PENYEBAB PEMANASAN GLOBAL
AKTIVITI PENGGUNA PENYEBAB PEMANASAN GLOBAL PDF Print E-mail
Written by Datuk Dr. Marimuthu Nadason   
Friday, 22 August 2014 09:30

Cuaca panas yang berlaku pada masa ini, jelas menunjukkan pemanasan global kian menjadi isu yang semakin penting dan kritikal kepada seluruh warga bumi.

Mengikut data yang dinyatakan dalam Laporan Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Cuaca (PICC), peningkatan suhu bumi yang ketara merupakan bukti yang menunjukkan berlakunya perubahan iklim, iaitu antara tahun 1880 dan tahun 2012, secara purata suhu permukaan bumi telah meningkat kira-kira 0.85oC.

Walaupun suhu yang meningkat kurang daripada 1oC, namun beberapa kesannya amat menakutkan, seperti kejadian banjir yang kerap berlaku, kemarau yang panjang, kebakaran hutan, wabak demam denggi yang semakin meningkat dan sebagainya.

Daripada laporan PICC tersebut, saintis juga meramalkan suhu permukaan bumi akan meningkat antara 0.3 dan 4.8oC pada abad ke-21, Bayangkan kesan yang bakal dialami jika suhu adalah lebih tinggi ataupun suhu yang amat rendah sehingga kehidupan harian tidak dapat dijalankan.

Di samping itu, perubahan suhu bumi juga menyebabkan pencairan glasier di Kutub Utara dan Kutub Selatan, yang kemudiannya memberi kesan kepada kenaikan paras laut dunia.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), mendapati keluasan dan ketebalan ais di Laut Artik telah kian berkurangan.

Apabila paras laut semakin meningkat, ia akan membanjiri kawasan paya bakau yang berada di kawasan tepi pantai, yang merupakan kawasan pembiakan dan perlindungan bagi tumbuh-tumbuhan dan kehidupan akuatik.

Oleh itu, gangguan keseimbangan ekosistem akan berlaku.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh ‘National Geographic’, jika pemanasan global berlaku dengan kadar yang pantas, maka paras laut akan meningkat dengan cepat dan dijangka ia akan meningkat sebanyak 2.5 dan 6.5 kaki (0.8 dan 2 meter) pada tahun 2100.

Paras ini mampu membanjiri beberapa bandar di Amerika Syarikat dan pulau-pulau yang kecil, seperti Maldives juga mungkin akan tenggelam dari permukaan laut. 

Apakah faktor utama perubahan iklim berlaku?

Suhu permukaan bumi bergantung kepada keseimbangan antara pengaliran tenaga matahari yang mengalir masuk dan keluar dalam sistem planet.

Apabila permukaan bumi menyerap tenaga panas daripada matahari, suhu bumi akan meningkat.

Di sebaliknya, jika tenaga matahari yang panas berjaya dipantul ke luar atmosfera, suhu bumi tidak akan menjadi panas.

Persoalannya, jika keseimbangan sistem ini terganggu, ia akan menyebabkan kesan yang tidak diingini, iaitu pemanasan global dan seterusnya dikuti oleh perubahan iklim.

Gas rumah hijau

Pembebasan gas rumah hijau (GHG) seperti karbon dioksida (CO2) yang semakin meningkat di seluruh dunia merupakan faktor yang ketara menpercepat proses perubahan iklim berlaku.

Karbon dioksida bertindak seperti selimut di permukaan bumi, yang akan memerangkap haba yang dilepaskan ke atmosfera.

Ini merupakan suatu sistem yang baik untuk mengekalkan suhu bumi supaya suhunya pada kadar yang sesuai didiami oleh manusia.

Namun begitu, apabila kadar CO2 yang dihasilkan adalah berlebihan, maka ia akan menyebabkan suhu bumi meningkat.

Kegiatan manusia dalam pembangunan negara masing-masing telahpun mengubah peratusan CO2 yang dilepaskan secara semula jadi.

Pembakaran bahan api seperti arang batu dan minyak banyak mengeluarkan CO2  ke udara.

Ia akan menyebabkan kepekatan CO2 di atmosfera meningkat. Tambahan pula, demi perkembangan pembangunan negara masing-masing, kegiatan pembalakan yang berleluasa, telah menyebabkan kemusnahan pokok-pokok yang sebenarnya berperanan sebagai penapis CO2 dalam udara.

Jadi, ketumpatan CO2 di atmosfera semakin tinggi, ini bermaksud ‘selimut’ yang menahan haba keluar dari permukaan bumi semakin tebal dan akhirnya suhu bumi meningkat.

Perubahan iklim secara semula jadi bermula pada Zaman Ais, iaitu sejak kira-kira 50,000 hingga 1000,000 tahun yang lalu.

Namun begitu, ia telah dipercepat melalui pelbagai akitiviti manusia yang telah mencerobohi kelestarian alam sekitar.

Berdasarkan fakta-fakta ini, para saintis membuat rumusan bahawa pemanasan global yang sedang melanda bumi pada masa ini bukannya fenomena yang semula jadi.

Peranan pengguna mengurangkan pemanasan global

Salah satu hak pengguna yang universal ialah hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

Namun begitu, pengguna perlu memainkan peranan untuk mengurangkan pemanasan global ini melalui aktiviti harian mereka.

Antara langkah yang boleh dilakukan adalah:

a.    Menggunakan alat elektrik yang mempunyai kecekapan tenaga tinggi, seperti alat elektrik yang mempunyai label Kecekapan Tenaga Lima Bintang di Malaysia ataupun label `Energy Star’ yang digunakan di Amerika Syarikat.

Ia akan mengurangkan pembebasan haba sebanyak 75 peratus berbanding dengan alat elektrik biasa.

b.    Mengamalkan tabiat guna semula dan kitar semula. Bahan-bahan seperti suratkhabar dan majalah lama, botol kaca, tin-tin minuman dan sebagainya boleh dikitar semula, manakala beg plastik boleh digantikan dengan beg kitar semula.

Ini akan mengurangkan jumlah bahan buangan yang perlu dihapuskan, dan secara langsungnya, ia akan mengurangkan pembebasan gas-gas yang tidak diperlukan semasa proses pelupusan.

c.    Mengikut statistik daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), Amerika Syarikat, pembaziran tenaga oleh alat elektrik yang suisnya dibiarkan terbuka di pejabat adalah bersamaan dengan pengeluaran tahunan tenaga daripada 12 stesen penjana elektrik.

Tutupkan semua suis alat elektrik apabila tidak diperlukan seperti komputer, mesin pencetakan dan sebagainya.

d.    Menggunakan alat penyaman udara apabila diperlukan sahaja kerana ia akan membebaskan gas klorofluorokarbon (CFC), yang merupakan salah satu GHG.

Perubahan iklim akan menjejaskan pelbagai sektor yang turut akan menpengaruh keselamatan makanan, air dan seterusnya pembangunan ekonomi.

Justeru, semua pihak haruslah sentiasa mengambil perhatian terhadap isu perubahan iklim dan berusaha bersama untuk mengurangkan pembebasan GHG yang boleh mempercepat fenomena ini.

Pembangunan sesebuah negara adalah penting untuk meningkatkan keselesaan kehidupan rakyat, namun begitu keseimbangan ekosistem haruslah diambil dalam pertimbangan demi generasi masa hadapan.

 


Penulis adalah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

 

 

Video Competition

"My Food Label 2017"

Tweet Me

NCCC - E-Aduan

Klik disini untuk membuat Aduan secara online
Atau
Hubungi Kami di talian
03 7877 9000
untuk membuat aduan

NCCC - Pusat aduan setempat bagi membantu para pengguna menyelesaikan masalah dan aduan pengguna

 

Sertai Kami di Facebook

Subscribe Newsletter

MySWITCH 2017

Maklumat Kepada Semua

Berita dan rencana yang disiarkan di dalam KonsumerKINI boleh diulang terbit dan diulang siar oleh mana-mana media cetak atau elektronik, blog ataupun laman web bagi tujuan untuk memberikan pendidikan dan maklumat kepada pengguna. Ulang terbit atau ulang siar boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak KonsumerKINI terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, digalakkan supaya meletakkan alamat laman web KonsumerKINI bagi tujuan rujukan. Media cetak dan elektronik digalakkan untuk menghubungi pihak yang membuat kenyataan dalam KonsumerKINI sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.