Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini mengumumkan bahawa banduan yang melakukan kesalahan ringan akan dipindahkan di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara mulai bulan depan. Pada masa ini banduan tersebut bercampur dengan banduan yang melakukan kesalahan berat.

Langkah ini ini menurut beliau bagi mengelakkan kedua-dua kategori banduan ini bergaul dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan, terutamanya tentang pelbagai taktik jenayah sepanjang menjalani hukuman. Katanya lagi, jika kedua-dua kategori banduan ini dibenarkan bercampur, banduan yang melakukan kesalahan berat akan mempengaruhi banduan yang melakukan kesalahan ringan.

Datuk Hishammudin juga mengatakan bahawa langkah ini diambil bagi mengurangkan masalah kesesakan penghuni di beberapa penjara di seluruh negara. Selain daripada itu, kerajaan akan menjimatkan hampir RM30 juta hingga RM60 juta untuk membina sebuah penjara baru. Tambahan pula, banduan-banduan tersebut akan digunakan sebagai tukang cuci di kem-kem tentera. Ini sekaligus akan mengurangkan pekerja-pekerja asing bagi sektor tersebut.  Banduan-banduan ini juga akan dilengkapkan dengan pelbagai program kemahiran dan aktiviti masyarakat.

Langkah Kementerian Dalam Negeri ini merupakan cadangan yang baik kerana, selain daripada menjimatkan wang kerajaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, ia juga meningkatkan kesedaran kepada banduan-banduan untuk insaf. 

Walau bagaimanapun, selain daripada membantu dalam memulihkan banduan-bandaun tersebut dengan program kemahiran, Kementerian Dalam Negeri harus juga memikirkan cara-cara lain untuk memulihkan banduan-banduan tersebut. Kebanyakan penjenayah kecil-kecilan ini melakukan jenayah seperti mencuri disebabkan oleh masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh mereka. Dengan mengenakan hukuman yang berat, penjenayah-penjenayah ini mungkin akan menjadi lebih teruk kerana mereka rasa bahawa mereka ditindas.

Satu rancangan televisyen di saluran Star Sports boleh dijadikan contoh yang baik. Dalam rancangan tersebut, Jabatan Penjara Thailand telah mengadakan kejohanan boxing di dalam penjara untuk mengenal pasti peninju-peninju berbakat dalam kalangan banduan. Malah, kejohanan ini pernah mengenal pasti beberapa peninju hebat. Salah seorang daripadanya adalah peninju bernama Amnat Ruenroeng yang telah memenangi pingat gangsa di Kejohanan Tinju Dunia 2007 dan sekaligus melayakkan diri ke kejohanan Olimpik 2008 di Beijing.

Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan kejohanan seperti ini bagi banduan-banduan yang bakal menjalani hukuman ringan di kem-kem tentera. Jabatan Penjara Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk menganjurkan kejohanan sukan intra-penjara dan inter-penjara. Banduan berbakat yang dikenal pasti ini boleh diberi latihan yang serius dan profesional supaya mereka boleh mendapat satu kehidupan yang baru setelah dibebaskan dari penjara.

Sering juga berlaku kebanyakan bekas banduan akan mengulangi jenayah kerana mereka tidak diterima bekerja untuk syarikat swasta mahupun jabatan kerajaan. Kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan mereka mengulangi perbuatan jenayah untuk memenuhi keperluan asas mereka. Sekurang-kurangnya dengan mengadakan kejohanan sukan dalam penjara, ia membuka peluang kepada bekas banduan ini untuk menjalani kehidupan yang baru melalui sukan.

Jika bekas banduan ini diberi peluang untuk mewakili pasukan negeri ataupun sekurang-kurangnya sesuatu kelab, peluang untuk mereka mengulangi jenayah akan berkurangan. Mereka akan memberikan tumpuan kepada latihan mereka dan latihan-latihan ini akan mendisiplinkan bekas banduan ini. Lebih-lebih lagi, seseorang yang diberi peluang untuk insaf dengan melakukan sesuatu yang digemari

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Penjara Thailand mengumumkan bahawa satu kejohanan baru akan diadakan di seluruh Penjara Thailand untuk mengenal pasti atlit-atlit berbakat untuk pasukan tinju Thailand yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olimpik 2012 di London dan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Jika orang Thailand rela mengambil langkah yang besar ini dalam memberi peluang kepada banduan mereka untuk menjalani kehidupan baru, tidak ada sebab bagi kerajaan Malaysia untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Dalam Negeri disyorkan supaya mewujudkan perbincangan bagi melaksanakan usaha ini dan membuat satu keputusan yang akan memanfaatkan masa depan sukan negara dan juga masa depan banduan-banduan muda dan mereka yang melakukan jenayah ringan ini.

Ravin Karunanidhi
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia