Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat yang bakal berkuatkuasa pada 15 Disember ini. Akta yang digubal berdasarkan kepada akta yang sama terdapat di United Kingdom dan Amerika Syarikat ini telah dibentangkan pada awal Mei tahun ini. Akta ini juga merupakan inisiatif perundangan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah dan salah laku penyelewengan.   

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan sebagai pemberi maklumat atau ‘whistle blower’. ‘Whistle blower’ diambil daripada perbuatan polis Inggeris yang meniup wiselnya apabila melihat sesuatu kejadian jenyah. ‘Whistle blower’ kini lebih dikenali sebagai pemberi maklumat; individu yang melaporkan salah laku, memberi maklumat tentang rasuah dan penyelewangan di dalam mana-mana organisasi atau agensi.

Perlaksanaan akta ini bererti Malaysia memenuhi satu lagi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani rasuah. Akta ini memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan undang-undang sivil atau jenayah terhadapnya berdasarkan tuduhan yang dibuatnya. Ia juga memberi perlindungan daripada kecaman pihak-pihak tertentu. Tuduhan yang dibuat akan dinilai dan disiasat mengikut prosedur yang berkenaan.

Walau bagaimanapun, perlindungan dalam akta ini masih terhad apabila pemberi maklumat hanya akan dilindungi sekiranya mereka tidak menyampaikan maklumat kepada media. Datuk Liew Vui Kong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menyebut, pemberi maklumat yang mengeluarkan kenyataan kepada media tidak terlindung di bawah akta ini. Pada hakikatnya, medialah yang bakal ‘memaksa’ pihak berwajib untuk mengambil peduli kes tersebut dan menyelesaikannya.   

Pada awal Disember lalu, saya telah menyertai 4th Human Rights Defender Forum anjuran FORUM-Asia di Manila, Filipina dan bertemu dengan Rodolfo Noel Lozada Jr., seorang pemberi maklumat yang telah berani melaporkan salah laku Jose Miguel Arroyo yang telah memberikan sejumlah besar kontrak kepada ZTE, sebuah firma telekomunikasi dari China. Rodolfo atau lebih dikenali sebagai Jun Lozada merupakan mantan presiden Philipines Forest Corporation di bawah Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Alam Filipina.

Beliau telah berkongsi pengalamannya semasa mendapatkan perlindungan daripada pihak-pihak tertentu yang lebih menginginkan beliau ‘hilang’. Mujurlah, ada teman yang sudi membantunya dan menyembunyikan beliau sekeluarga di sebuah bilik kecil. Tidak tahan dengan penderitaan keluarganya, Jun Lozada telah menghubungi pihak media dan menceritakan segala-galanya. Beliau menyebut, sekiranya beliau tidak menghubungi media pada waktu itu, mungkin telah terlambat baginya dan keluarga. Menurutnya, media Filipina memainkan peranan penting bagi keselamatannya.


Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia