Pada masa ini Malaysia mengamalkan dua sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan;. Pertama adalah sistem yang dibiayai oleh cukai dan dikendalikan oleh kerajaan. Ia merupakan sistem perubatan dan kesihatan yang dapat dinikmati oleh semua rakyat. Satu lagi sistem pula yang dikendalikan oleh sektor swasta yang bertujuan untuk mendapat keuntungan. 

Terdapat juga sistem yang ketiga iaitu  hospital berasaskan kebajikan dan tidak berasaskan keuntungan. Namun pertumbuhan hospital ini agar terbantut kerana pertumbuhan aktif hospital swasta.

Hospital swasta telah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Pada tahun 1980 terdapat 10 hospital swasta. Jumlah ini telah meningkat kepada 128 pada tahun 2003.

Pertumbuhan pesat hospital swasta disebabkan dua faktor utama.  Pertamanya, pada tahun 1980-an, kerajaan melalui dasar penswastaan telah menggalakkan penglibatan swasta dalam pengendalian hospital.  Yang kedua, dengan peningkatan pendapatan rakyat, golongan yang berpendapatan tinggi telah memilih hospital swasta berbanding  hospital kerajaan.

Pada tahun 1980-an, kerajaan telah menyumbang hampir 76% kepada jumlah perbelanjaan kesihatan di negara. Pada tahun 2000-an dianggarkan sumbangan swasta kepada perbelanjaan kesihatan telah meningkat kepada lebih kurang 40%.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, sumbangan swasta kepada jumlah perbelanjaan kesihatan adalah lebih kurang 46.2%.

Walaupun, hospital swasta telah tumbuh dengan pesat, majoriti rakyat iaitu 78% masih menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan, manakala hanya 18% menggunakan hospital swasta.

Adakah Malaysia telah memberikan peruntukan jumlah yang  terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan? Menurut laporan WHO 2006, Malaysia telah membelanjakan kurang daripada 4% daripada KDNK, dan seterusnya 3.8% pada tahun 2003 dan 3.7% pada tahun 2004. WHO mencadangkan bahawa sesebuah negara harus memperuntukan paling minimum 5% hingga 6 % daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan. 

Pada tahun 1997, purata perbelanjaan dunia untuk penjagaan kesihatan adalah 7.9% daripada KDNK.  Oleh itu, Malaysia bukannya berbelanja terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan, sebaliknya memberikan peruntukan yang  terlalu rendah.

Adakah pertumbuhan hospital swasta yang terlalu pesat menimbulkan masalah? Pertamanya, ramai doktor dan pakar yang akan meninggalkan hospital kerajaan untuk meraih pendapatan yang lebih lumayan di hospital swasta.

Dalam satu laporan dianggarkan terdapat dua pertiga pakar bedah dan perubatan yang berkhidmat di hospital swasta berbanding dengan hospital kerajaan.  Dalam laporan yang lain pula mengatakan bahawa terdapat dua kali ganda onkologis (yang merawat kanser) dalam sektor swasta berbanding dengan hospital kerajaan. Penghijrahan ini telah mengakibatkan kekurangan doktor dan pakar di hospital kerajaan. Ini menyebabkan doktor yang masih bertugas di hospital kerajaan seringkali terpaksa bekerja secara berlebihan (overworked) dan mengalami tekanan.

Keduanya, hospital swasta diwujudkan untuk mendapatkan keuntungan.  Oleh kerana caj rawatan masih belum dikawal oleh kerajaan, maka seringkali bayaran perkhidmatan yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar oleh rakyat biasa.  Maka perkhidmatan ini lebih tertumpu kepada pesakit yang berada sahaja.

Hospital swasta boleh dianggap sebagai satu kontradiksi terhadap peranan kerajaan untuk menjamin kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam isu kesihatan.

Keadaan ini bertambah buruk apabila kerajaan berura-ura untuk menukar sistem yang berasaskan cukai yang diamalkan pada masa ini kepada sistem insurans, iaitu rakyat terpaksa menangggung kos kesihatan sendiri melalui sistem insurans kesihatan. 

Walaupun sistem kesihatan kerajaan mempunyai banyak kelemahan, termasuk pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendaptkan rawatan, namun tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini adalah sistem yang membolehkan semua rakyat khususnya golongan miskin untuk mendapat kemudahan rawatan dan perubatan.  Sewajarnya kerajaan memperbaiki sistem yang sedia ada daripada mencari kaedah lain untuk membiayai sistem kesihatan.

Kerajaan tidak harus melepaskan hak kepada keperluan asas ini kepada sektor swasta. Percubaan Sime Darby untuk `merampas’ Institut Jantung Negara pada satu ketika dahulu menunjukkan ketamakan sebuah syarikat berasaskan kerajaan untuk mencari keuntungan daripada kesusahan rakyat, Bantahan terhadap `rampasan’ ini oleh FOMCA dan pertubuhan sivil yang lain telah mematikan usaha syarikat ini.

Pengguna di Malaysia hendaklah bersedia untuk berjuang bagi memastikan, sama ada syarikat yang tamak atau kawal selia kerajaan yang lemah, tidak menjejaskan hak mereka untuk menikmati kemudahan kesihatan.  Hak kepada kesihatan adalah hak asasi manusia. Kita tidak sekali-kali boleh membenarkan sesiapapun mencabul hak kita ini.



Dato’ Paul Selva Raj
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia