Pangkor,  17 Mei 2010 – Bahagian Hak Asasi Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer) telah mengadakan siri program “Memperkasa Kepimpinan Wanita melalui Pendidikan Undang-undang dan Advokasi” baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam ini telah memilih Pangkor Laut sebagai destinasi pertamanya. Beberapa orang penceramah yang berlatar belakang undang-undang dan berpengalaman telah menjemput bagi memberikan ceramah dalam program ini.


Program ulung yang dianjur dengan kerjasama Yayasan Friedrich Naumann, serta mendapat pembiayaan daripada Kesatuan Eropah ini, telah dihadiri oleh 26 orang wanita India, berumur antara 21 tahun hingga 45 tahun. Sebanyak tujuh buah topik telah dibincangkan, antaranya Hak Asasi Wanita, Pengenalan Sistem Perundangan Malaysia, Undang-undang Pengguna, Undang-undang Keluarga Sivil, Undang-undang Syariah, Undang-undang Pekerja dan Undang-undang Jenayah.

Menurut Pengarah Program dan Pembangunan Kemasyarakatan (Wanita) ERA Consumer, Nanthini Ramalo, ”Program ini merupakan antara program yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat India terutama sekali untuk memahami konsep perundangan dan mengetahui lunas-lunas serta prosedur yang betul dalam menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami.”

Selain itu, program ini juga akan memberikan tumpuan kepada golongan wanita orang Asli. ERA Consumer dalam proses untuk mendapatkan kerjasama daripada  Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi mengenal pasti peserta-peserta program.

“Kumpulan sasaran kami adalah wanita India dan Orang Asli. Sebanyak 12 program akan diadakan. Kami berharap dapat mencapai objektif program ini dalam usaha untuk melengkapkan peserta-peserta program dengan pengetahuan undang-undang dan pendidikan hak asasi wanita,” tambah Nanthini lagi

Salah seorang peserta program ini, Puan Loges, 43 tahun, amat menghargai program yang dianjurkan oleh ERA Consumer. ”Banyak perkara yang sebelum ini kita tidak tahu, telah kita pelajari. Program ini bukan setakat memberi syarahan dan penerangan, tetapi juga pelbagai aktiviti dijalankan untuk menambahkan pemahaman. Jika boleh, saya mahu anak saya sertai program ini juga,” ujar beliau.

Program seterusnya akan diadakan di Taiping, Perak dan Pontian, Johor pada bulan Jun nanti.

Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer, merupakan sebuah organisasi yang memberikan tumpuan kepada pendidikan hak asasi manusia. Antara program-program utama lain yang diadakan adalah Program Latihan Hak Asasi Manusia, Program Literasi Undang-undang dan Program Hak Sivil dan Perlembagaan. 

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
18 Mei 2010

{morfeo 4}