KUANTAN, 15 MAC - ERA Consumer Malaysia telah menganjurkan Sesi Rundingan Umum Kebangsaan SUHAKAM bagi laporan tahunan 2007 dan 2008 di Hotel Grand Continental, di sini semalam. Sesi rundingan yang dibuat secara tahunan ini telah memilih Kuantan sebagai lokasi kelapan. Seramai 117 peserta daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta fahaman politik yang telah hadir menjayakan sesi rundingan ini.

Dalam sesi rundingan kali ini, ERA Consumer telah menjemput Cik Nora Murat dari Amnesty International sebagai perantara, manakala ahli-ahli panel terdiri daripada individu-individu yang berpengaruh dalam bidang masing-masing. Mereka terdiri daripada Puan Haslinah Ya’cob  (All Women’s Action Society Malaysia), Encik Jerald Joseph (KOMAS), Encik Faisal Mustaffa (REFSA), Dr Shamrahayu Ab Aziz (UIA) dan Encik Hon Kai Ping (Majlis Peguam Pahang).

Topik-topik yang dibincangkan berkisar kepada ulasan terpilih daripada penerbitan terkini ERA Consumer Malaysia iaitu SUHAKAM Selepas 8 Tahun: Hanya Perkataan, Tiada Tindakan dan SUHAKAM Selepas 9 Tahun: Masanya untuk SUHAKAM mendapatkan kembali kepercayaan Rakyat.

Antara topik tersebut adalah Advokasi SUHAKAM dalam Kesamarataan Gender, Ulasan dalam Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Hak Pilihanraya dan Anda, Tahanan Tanpa Bicara dan Pentadbiran SUHAKAM dalam mempertingkatkan Pentadbiran Keadilan.

Sesi rundingan ini turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden ERA Consumer Malaysia, Encik Timo Karmakallio, wakil Kedutaan Finland ke Malaysia, Dato’ Siva Subramaniam, pesuruhjaya Suhakam.

Dalam sesi soal jawab dan maklum balas, Pesuruhjaya SUHAKAM telah memberikan jawapan yang sedikit sebanyak menjelaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh peserta.

ERA Consumer Malaysia merupakan salah satu NGO pemerhati SUHAKAM yang telah menganjurkan sesi rundingan ini secara tahunan sejak tahun 2000. ERA Consumer memfokuskan kepada pendidikan hak asasi manusia selama lebih daripada 10 tahun. Dengan mengadakan sesi rundingan ini ERA Consumer Malaysia mendapatkan maklum balas daripada masyarakat tentang pemahaman mereka mengenai isu hak asasi manusia.

Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia
16 Mac 2010