Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun sejak tahun 1993. Ia adalah sebagai satu cara untuk menumpukan perhatian semua pihak mengenai kepentingan air mentah, pengurusan air mentah yang mampan dan juga hak asasi manusia dalam akses kepada sumber air bersih, selamat dan berterusan. Pada Disember 2010, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2013 sebagai Tahun Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam kerjasama air (Resolution A/RES/65/154).

Hasil dari pengishtiharan ini, Hari Air Sedunia 2013, yang akan berlangsung pada 22 Mac 2013, juga akan menumpukan kepada kerjasama air dan UN-Water telah memberi kepercayaan kepada UNESCO untuk memimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 2013 dalam Kerjasama Air. 

Objektif Tahun Kerjasama Air Antarabangsa ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran serta meningkatkan potensi dalam membentuk kerjasama dari semua pihak termasuk agensi kerajaan, industri, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan juga rakyat dalam mengharungi cabaran pengurusan air,  peningkatan permintaan akses air, pengagihan, perkhidmatan pelanggan dan juga penggunaan air yang mampan.

 

Sambutan pada tahun ini juga akan mengetengahkan sejarah kejayaan melalui kerjasama dalam pengurusan air, mengenal pasti isu-isu kritikal perkhidmatan air, kerjasama merentasi sempadan, maklumat dan pertukaran data, kerjasama kewangan dan juga teknikal. Hanya melalui kerjasama, kita akan berjaya pada masa hadapan untuk menguruskan sumber air dan memastikan manfaat untuk semua.

Semua pihak yang berkepentingan perlulah berkongsi pendapat mereka mengenai isu-isu air di Malaysia dan akhirnya menggalakkan kerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik untuk pengurusan air yang mampan di Malaysia. Air haruslah dilihat sebagai satu hak asasi manusia dan merupakan satu tanggungjawab untuk menyediakannya kepada semua manusia bukannya mengikut kepentingan peribadi. Akses kepada bekalan air juga harus diberikan sama rata dan tiada diskriminasi. Pandangan dan pengalaman individu-individu yang mempunyai latar belakang serta  pengetahuan luas mengenai  perkhidmatan air boleh digunakan dalam membentuk kerjasama untuk memperkukuhkan lagi industri ini. Amalan baik yang dijalankan di seluruh Negara juga dapat dijadikan sebagai satu maklumat untuk mencapai perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Dengan penglibatan pelbagai pihak ini diharap dapat mencapai objektif utama dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan operasi yang sedia.