Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 728

Malaysia sekali lagi diselimuti oleh jerebu. Fenomena tahunan ini tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan malahan secara beransur-ansur, semakin teruk daripada yang terdahulu. Kita sebagai pengguna, perlu melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat yang penting berkaitan dengan jerebu untuk melindungi diri kita dan juga orang-orang yang tersayang.

Apakah itu jerebu?
Kemunculan jerebu adalah disebabkan oleh penyebaran cahaya oleh partikel-partikel asap yang tergantung di udara. Pengumpulan partikel-partikel ini dalam jumlah yang besar boleh menghalang penembusan cahaya matahari melalui atmosfera yang kemudiannya mengurangkan darjah penglihatan dengan ketara. Partikel-partikel yang kecil ini boleh disebabkan oleh fenomena semulajadi dan aktiviti-aktiviti manusia. Contoh keadaan semula jadi yang menyebabkan jerebu adalah fenomena El-Nino 1997 yang memanjangkan iklim panas dan kering.

Ini menyebabkan kebakaran hutan yang tidak terkawal kerana rantau yang terjejas menghadapi tekanan air yang rendah lalu mengakibatkan kesukaran untuk menguruskan kebakaran hutan. Aktiviti manusia seperti perindustrian adalah salah satu penyumbang utama jerebu. Asap dari kilang-kilang dan kenderaan bermotor serta pembakaran hutan secara terbuka di Kalimantan menimbulkan ancaman yang serius untuk udara. Dalam satu kajian yang dijalankan, ianya telah disimpulkan bahawa biojisim terbakar daripada hutan-hutan di Indonesia adalah punca utama partikel aerosol organik semasa peristiwa jerebu di Malaysia jika dibandingkan dengan sumber antropogenik yang lain seperti pelepasan asap industri dan trafik (M. Radzi et al. 2004).

Indonesia membakar hutan mereka setiap tahun untuk membolehkan aktiviti-aktiviti pertanian. Ini merupakan salah satu punca utama jerebu di Asia Tenggara. Kebakaran hutan yang yang dikaitkan dengan tanah gambut tropika di Asia Tenggara merupakan ancaman yang paling berbahaya kerana kawasan yang terjejas adalah seluas kira-kira 24 juta hektar. 70% daripada hutan ini terletak di Indonesia yang mengalami pengurusan hutan yang lemah lalu menyebabkan pengaliran air keluar dari kawasan hutan seterusnya mengakibatkan kekeringan tanah gambut yang kritikal.  Hal ini sekaligus menjadikannya sangat mudah terbakar disebabkan oleh komposisi bahan-bahan organik yang tinggi di dalam tanah gambut. Api yang dikaitkan dengan paya gambut adalah sangat sukar untuk dikawal kerana kebolehannya untuk terbakar di bawah litupan tanah. Kandungan karbon yang tinggi di dalam asap yang dikeluarkan daripada kebakaran hutan gambut adalah punca jerebu tebal di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia berikutan kedudukan kita yang berdekatan dengan Indonesia.

Mengapakah jerebu merupakan satu masalah?

Jerebu mempunyai keupayaan untuk menyebabkan masalah kesihatan yang serius disebabkan oleh partikel-partikel halus yang terkandung di dalamnya. Partikel - partikel pencemar tersebut termasuklah partikel-partikel pepejal dan titisan cecair dan mereka terdiri daripada pelbagai saiz. Terdapat beberapa jenis partikel; ultra-halus, halus dan kasar. Apabila tahap partikel ultra-halus adalah tinggi di udara, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Siapakah golongan yang berisiko tinggi?

Golongan yang berisiko tinggi untuk kesihatan mereka terjejas disebabkan oleh jerebu adalah kanak-kanak, orang tua dan juga  individu yang mengalami masalah kesihatan seperti, asma, penyakit jantung, sinusitis kronik, masalah pernafasan dan penyakit yang berkaitan dengan paru-paru.

Bagaimanakah jerebu mampu memudaratkan kesihatan kita?
Kebanyakan orang biasanya mengalami bersin, hidung berair, kerengsaan mata, kerengsaan tekak dan batuk kering akibat jerebu. Simptom-simptom ini adalah ringan dan tidak menimbulkan bahaya kepada kesihatan penduduk umum. Walau bagaimanapun, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada kemudaratan fungsi paru-paru dan membawa kepada penyakit bronkitis yang kronik. Kerengsaan tekak dan hidung berair boleh membawa kepada pelepasan lendir yang mana boleh berakhir dengan sekatan saluran pernafasan.

Keadaan pesakit-pesakit yang menghadapi penyakit paru-paru, jantung dan masalah pernafasan akan menjadi lebih teruk kerana partikel-partikel ini mempunyai kecenderungan untuk memburukkan lagi penyakit pernafasan.Ini adalah kerana partikel-partikel halus yang dihidu tersebut boleh didepositkan jauh ke dalam paru-paru di mana ia akan terkumpul sama ada di permukaan atau diserap ke dalam alveolar. Lebih banyak alveoli yang tersumbat dengan partikel halus, penyerapan oksigen akan semakin berkurangan. Maka, penghantaran oksigen ke jantung dan organ-organ lain akan turut berkurangan. 

Kanak-kanak juga boleh dipengaruhi oleh jerebu kerana paru-paru mereka masih dalam peringkat perkembangan. Kanak-kanak mempunyai peluang yang tinggi untuk menghidap penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan jerebu kerana kadar pernafasan mereka adalah dua kali lebih tinggi dari kadar purata pernafasan manusia dewasa. Juga, mereka biasanya berada di kawasan luar rumah lebih lama untuk aktiviti fizikal. Aktiviti-aktiviti fizikal yang berat seperti bola sepak, boleh meningkatkan permintaan oksigen badan lalu meningkatkan kadar pernafasan. Apabila kadar pernafasan mereka adalah tinggi, lebih partikel-partikel ultra-halus akan dihidu dan terkumpul di dalam paru-paru mereka. Pengumpulan jangka masa panjang partikel-partikel halus ini di dalam paru-paru kanak-kanak telah terbukti mampu menyebabkan penyakit asma.

Partikel-partikel jerebu juga boleh merengsakan kulit dan mencetuskan alahan kulit kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Apakah yang boleh dilakukan untuk melindungi diri kita dan juga orang-orang tersayang?

Pastikan anda tahu tahap Pencemaran Udara terkini dengan memeriksa Indeks Pencemaran Udara (API) yang disediakan di laman web Jabatan Alam Sekitar: http://www.doe.gov.my/apims/ secara lebih kerap.

Kanak-kanak boleh dilindungi dengan mengurangkan aktiviti luar dan lebihkan berada di dalam rumah. Untuk membersihkan udara di dalam rumah, pasang peralatan pembersih udara di dalam rumah kerana peralatan tersebut akan dapat mengurangkan jumlah partikel-partikel halus di dalam rumah ke tahap yang boleh diterima semasa situasi jerebu yang teruk. Daripada menggunakan kipas, penggunaan penghawa dingin adalah lebih digalakkan. Walau bagaimanapun, pastikan bahawa penghawa dingin tersebut berada dalam keadaan yang baik dengan membuat penyelengaraan secara lebih kerap. Ini adalah untuk mengelakkan penembusan partikel-partikel halus ke udara di dalam rumah anda melalui system penghawa dingin tersebut. 

Risiko kesihatan yang dikaitkan dengan jerebu boleh dikurangkan dengan memakai topeng pernafasan seperti N95 apabila kita berada di luar rumah untuk melindungi kita daripada bernafas partikel-partikel jerebu halus di udara. Cara lain adalah dengan menutup semua tingkap dan bukaan yang boleh membenarkan partikel-partikel halus tersebut untuk memasuki kawasan tertutup. Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memakai kanta lekap semasa keaadaan jerebu yang teruk kerana ini boleh merengsang mata dan mengakibatkan kebutaan. Juga, elakkan memandu apabila penglihatan anda terjejas teruk oleh jerebu.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk minum lebih banyak air dan makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengeluarkan toksin dari badan kita. Kurangkan pengambilan kopi dan alkohol untuk mengelakkan kehilangan bendalir badan. Selain itu, elakkan daripada merokok di kawasan dalaman yang boleh menambah tahap partikel-partikel asap di udara dalaman. Bagi mereka yang mengidap penyakit jantung dan masalah pernafasan, sila ambil ubat anda secara tetap dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya anda mengalami kesesakan nafas.

Mathini Arveena Ravee