Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 809

Pemanasan global dan suhu yang semakin meningkat bakal menyebabkan corak hujan yang melampau di kawasan tropikal. Menurut kajian terbaru yang dihasilkan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), setiap peningkatan suhu sebanyak 1 darjah Celsius di kawasan tropikal akan menyebabkan peningkatan kadar hujan melampau sebanyak 10 peratus. Peningkatan kadar hujan tersebut akan memberikan impak yang besar, iaitu kejadian banjir di kebanyakan kawasan berkepadatan penduduk di kawasan tropikal.  

Selain itu, penyelidik-penyelidik juga percaya bahawa corak hujan yang melampau di kawasan tropikal adalah lebih peka terhadap pemanasan global berbanding dengan kawasan lain. Namun, kajian yang lebih mendalam tentang penemuan ini masih diperlukan.

Prinsip asas dalam peningkatan hujan disebabkan suhu telah diketahui umum. Gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida memasuki atmosfera dan lebih banyak gas rumah hijau di atmosfera bermaksud suhu meningkat. Peningkatan suhu ini menyebabkan lebih banyak wap air di atmosfera. Lebih banyak wap air di atmosfera akan menyebabkan hujan yang lebih lebat dan ribut taufan disebabkan kelembapan dan juga suhu. 

Penyelidik-penyelidik MIT telah menggunakan satelit untuk memerhati hujan lebat yang melampau di kawasan yang terletak di latitud 30 darjah utara dan 30 darjah selatan, di mana terletaknya kawasan atas dan bawah garisan Khatulistiwa. Data-data tersebut dikaji dengan beberapa model iklim yang memberikan kesan seperti El Nino dan pemanasan global. 

Hasilnya, mereka menemui satu corak yang jelas, iaitu model-model tersebut menunjukkan hubungan yang  rapat di antara pemanasan global dan corak hujan melampau. 

Amaran-amaran telah dikeluarkan dan disampaikan kepada pemimpin-pemimpin dunia bahawa mereka harus bersedia dengan perubahan corak hujan, yang boleh mengakibatkan kejadian banjir yang besar dan lebih membinasakan.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia