Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 5609

Mulai 1 Januari 2012, Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) akan mula berkuat kuasa. Akta yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai 2011 ini adalah bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972. 

APD 2011 mengandungi beberapa peruntukan seperti berkaitan salah laku amalan perdagangan, perlanggaran cap dagangan, pelantikan pihak berkuasa berwibawa untuk perakuan dan pengecapan barang serta penalti.

Perkara lain yang terdapat dalam APD 2011 ialah peruntukan yang berkaitan  dengan penyalahgunaan sijil dan perakuan halal. APD 2011 telah mewujudkan perundangan subsidiari seperti Perintah Perihal Dagangan (takrifan ‘halal’) serta (perakuan dan penandaan ‘halal’ bagi makanan dan barangan) 2011.

Dalam Akta Perihal Dagangan 1972, tidak dinyatakan secara jelas pihak berkuasa yang mengeluarkan sijil halal sehingga menyebabkan banyak kekeliruan kepada pengguna Islam khususnya. Ini menyebabkan banyak syarikat pengeluar yang telah mengeluarkan label halal sendiri dan lebih mengelirukan lagi apabila terdapat syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal. Keadaan ini menyebabkan banyak masalah timbul berkaitan produk halal.

Justeru, melalui peruntukan dalam APD 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dijadikan sebagai agensi berwibawa yang mengeluarkan sijil dan logo halal Malaysia.

Terdapat dua seksyen dalam APD 2011 yang menjelaskan tentang pensijilan halal, iaitu Seksyen 28 dan Seksyen 29.

Seksyen 28 memperuntukkan kuasa menteri mentakrifkan apa-apa ungkapan dan bagi menghendaki maklumat diberikan. Menteri boleh menetapkan erti berkenaan sama ada ungkapan digunakan dalam perjalanan perdagangan, perniagaan atau dalam hal keadaan dinyatakan dalam perintah itu, maka berdasarkan seksyen ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Manakala dalam Seksyen 29 pula, menteri boleh menamakan mana-mana pihak berkuasa untuk memperakukan, menandakan, membekalkan atau menawarkan ke atas sesuatu barangan termasuk yang berkaitan dengan pensijilan halal. “Maka berdasarkan seksyen ini, Menteri KPDNKK mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Bagi penandaan logo dan pensijilan halal, JAKIM dan MAIN dinamakan sebagai agensi pensijilan halal di negara ini yang diiktiraf mengikut APD 2011, sekali gus tiada lagi logo halal lain kecuali logo halal Malaysia.

Selain itu, terdapat tujuh perkara mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang menetapkan suatu makanan, barangan atau perkhidmatan memakai perkataan 'halal' atau mana-mana istilah lain menunjukkan ia boleh digunakan orang Islam iaitu tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang dilarang hukum syarak atau tidak disembelih mengikut hukum syarak; tidak mengandungi unsur najis mengikut hukum syarak; tidak memabukkan mengikut hukum syarak; tidak mengandungi bahagian atau anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan hukum syarak; selamat digunakan atau dimakan, tidak beracun, atau tidak memudaratkan kesihatan.

Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan dicemari najis mengikut hukum syarak dan dalam masa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan tidak bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang dilarang Islam serta terdapat unsur najis.

Dengan berkuatkuasanya Akta Perihal Dagangan 2011 ini, maka tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang telah membekalkan atau menawar makanan yang memperdaya atau mengelirukan orang ramai dengan menyatakan ia halal. Kesalahan ini termasuk juga perbuatan menggunakan ayat suci al-Quran, perkara atau objek berkaitan dengan agama Islam di premis atau di bekas makanan.

Pihak yang disabitkan kesalahan di bawah Akta ini, sekiranya pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya tidak melebihi RM10 juta. Manakala bagi individu pula, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Jika melakukan kesalahan kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. 

Selain itu, semua makanan atau barangan import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal kecuali diperakukan oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim. Pihak yang disabitkan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, jika membabitkan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya RM500,000.

Individu yang sabit kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. 

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)