Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 952

Semenjak berlakunya Revolusi Industri, lingkungan global mulai mengalami pencemaran udara yang memberi  kesan tertentu terhadap perubahan iklim global. Perubahan iklim didefinisikan sebagai perubahan jangka masa panjang yang berlaku dalam corak suhu, angin, pemendakan, kelembapan dan musim.  Dalam keadaan sebegini, apakah peranan hutan?

Hutan mempunyai peranan yang amat besar untuk mengawal perubahan iklim yang tidak menentu semenjak akhir-akhir ini melalui kawalan karbon dioksida yang terdapat di dalam atmosfera bumi.

Ini kerana karbon dioksida akan dikurangkan daripada atmosfera melalui serapan pada kayu-kayan, daun dan tanah. Hutan tropika berperanan penting dalam mengawal perubahan iklim global kerana ianya berupaya menyerap karbon sekurang-kurangnya 2.6 Gt/tahun.

Selain itu, hutan juga merupakan tempat menyimpan korban sekitar 1650 Gt yang sama dengan dua kali ganda banyaknya karbon di atmosfera. Hutan juga berperanan menjadi penyokong kepada kehidupan manusia terhadap peningkatan risiko perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, karbon yang disimpan di dalam ekosistem hutan, masih boleh dilepaskan ke atmosfera bumi apabila hutan dibakar. Pembakaran hutan yang sering berlaku menyebabkan pembebasan gas-gas beracun ke atmosfera dan seterusnya meningkatkan suhu bumi. 

Penduduk di dunia ini berhak untuk menikmati persekitaran yang sihat dan selamat. Bagi memastikan persekitaran yang sihat dan selamat untuk semua, setiap orang perlu memainkan tanggungjawab seperti berikut:

1) Mengkitar semula kertas supaya penebangan hutan untuk menghasilkan kertas dapat dikurangkan.
2) Melaporkan sebarang pembalakan haram atau pembakaran hutan kepada pihak yang bertanggungjawab
3) Mengelakan pembakaran hutan secara berleluasa

Semua pihak perlu berkerjasama antara satu sama lain bagi memelihara persekitaran yang dikurniakan oleh tuhan.

Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia