Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 645

Negara sedang menghadapi gelombang panas yang sederhana, yang suhu purata bagi minggu yang lepas mencecah 36 darjah Celsius. Bagi mengelak daripada kesan akibat daripada gelombang panas tersebut kepada kesihatan, ikutilah tip-tip di bawah ini.

Tip pertama merupakan tip yang paling penting, iaitu minum lebih banyak air. Setiap hari sebanyak 8 gelas air perlu diminum bagi memastikan badan dapat berfungsi pada tahap yang optimum. Air biasa merupakan pilihan yang paling baik bagi memastikan tahap kehidratan badan kita. Pilihan lain seperti jus buah-buahan dan susu juga boleh membekalkan air yang diperlukan. 

Tip yang kedua ialah menjauhkan diri daripada matahari. Bawalah payung apabila keluar daripada rumah. Jika boleh, cubalah berada di dalam tempat yang terlindung daripada matahari.

Pakailah pakaian yang bersesuaian seperti pakaian yang dibuat daripada serat semula jadi seperti kapas dan kain linen untuk membolehkan kulit bernafas dan berpeluh, kerana ia boleh menyejukkan badan. Selain itu, pakailah pakaian yang lebih longgar agar peredaran udara menjadi lebih lancar. 

Krim penghalang matahari, cermin mata hitam dan topi merupakan benda-benda yang diperlukan selain payung apabila keluar rumah.

Pada masa yang sama, kurangkan minuman alkohol dan berkafeina kerana bahan minuman ini akan menyebabkan kandungan air meninggalkan badan melalui pembuangan air kecil.

Selain itu, pastikan sistem peredaran udara di rumah dalam keadaan yang lancar dan sesuai.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia