Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 820

Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir 75% terumbu batu karang di dunia sedang terancam. Buat pertama kalinya kajian ini juga meliputi ancaman daripada perubahan iklim, termasuklah peningkatan suhu lautan dan kandungan keasidan air laut. 

Dalam laporan tersebut, ancaman tempatan bagi terumbu karang ialah penangkapan ikan yang tidak terkawal, pembangunan pesisiran pantai dan pencemaran telah menyebabkan kesan teruk kepada 60% terumbu karang di dunia pada hari ini. 

Kajian yang bertajuk "Reefs at Risk Revisited" telah dijalankan oleh Institut Sumber Dunia, dengan kerjasama Nature Conservancy, WorldFish Center, International Coral Reef Action Network, Global Coral Reef Monitoring Network dan lebih daripada 25 buah organisasi. Pengumpulan data bagi kajian tersebut tertumpu di Australia , Caribbean, Indonesia, Malaysia, England, Amerika Syarikat dan banyak lagi negara-negara kepulauan di serata dunia. Kajian ini merupakan laporan yang paling terperinci mengenai ancaman terhadap terumbu batu karang.

Menurut Dr. Jane Lubchenco, ketua kepada kajian ini, bahawa laporan ini akan menjadi amaran penting kepada pembuat dasar, sektor perniagaan, pengurus lautan dan masyarakat dunia tentang penjagaan dan pemuliharaan terumbu batu karang.

Masalah ancaman tempatan, terutamanya penangkapan ikan yang tidak lestari dan pengeboman ikan telah menyebabkan banyak kawasan terumbu karang menghadapi kemusnahan. Manakala ancaman dunia pula melibatkan kenaikan suhu lautan dan juga keasidan air laut melalui pencemaran gas karbon dioksida. Menurut kajian ini, sekiranya terumbu batu karang tidak dipantau dan dipelihara, lebih daripada 90% kawasan terumbu batu karang akan terancam menjelang tahun 2030, manakala seluruh sistem terumbu batu karang dunia akan terancam pada tahun 2050. 

Menurut penulis utama laporan ini, Lauretta Burke dari Institut Sumber Dunia mengatakan bahawa terumbu batu karang merupakan sumber yang penting kepada manusia. Dengan mengurangkan ancaman tempatan, ia dapat membeli masa untuk mencari jalan penyelesaian dan memelihara khazanah ini kepada generasi masa depan. 

Dalam laporan itu, beberapa cadangan telah diajukan untuk melindungi dan mengurus kawasan terumbu batu karang. Analisa menunjukkan lebih daripada satu perempat daripada keseluruhan kawasan terumbu karang telah diwartakan sebagai taman laut. Walaubagaimanapun, hanya 60% daripada taman-taman laut ini diuruskan dengan baik. 

Taman laut merupakan salah satu kaedah terbaik untuk melindungi kawasan terumbu batu karang. Terumbu batu karang membekalkan sumber makanan yang berterusan dan menjana ekonomi negara melalui sektor perlancongan.  Oleh itu, usaha perlu dipergiatkan untuk menjaga khazanah yang bernilai ini. 

Menurut laporan tersebut, lebih daripada 275 juta penduduk tinggal berhampiran dengan kawasan terumbu batu karang (30km). Lebih daripada 100 negara terdapat kawasan terumbu batu karang yang meliputi 150,000km pesisiran pantai dan infrastruktur komuniti pantai daripada ribut dan hakisan laut. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia