Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 745

Kebiasaannya, bencana alam yang berkaitan dengan iklim adalah sukar diduga dan boleh menyebabkan kerosakan dan kerugian yang teruk. Kekerapan dan skala bencana alam yang berlaku ini telah menimbulkan persoalan sama ada ia menjadi faktor pendorong kepada berjuta-juta orang yang berhijrah ke tempat-tempat yang selamat? Persoalan ini sedang dikaji oleh pakar sains di Bank Pembangunan Asia. 

Menurut organisasi yang berpejabat di Manila, cuaca melampau yang melanda di Malaysia, Pakistan, China, Filipina dan Sri Lanka telah menyebabkan berlaku penghijrahan sementara dan tetap bagi mereka yang ditimpa oleh bencana tersebut. Selain itu, proses tersebut juga dipercayai berlaku pada kadar yang lebih cepat dalam tahun-tahun yang akan datang yang juga disebabkan oleh perubahan iklim.

Pada masa ini, masih tidak terdapat satu mekanisme kerjasama yang ditubuhkan untuk menguruskan aliran penghijrahan penduduk yang ditimpa bencana alam. Apa yang wujud pada masa ini, apabila berlakunya bencana, pelan perlindungan dan bantuan tidak mencukupi serta tidak terurus. Situasi ini bakal mendorong kerajaan dan komuniti antarabangsa untuk mengendalikan isu ini secara yang lebih sistematik.

Ramalan yang dibuat terhadap penghijrahan besar-besaran ini melibatkan hampir 150 juta hingga 300 juta orang menjelang tahun 2050. Rantau Asia Pasifik bakal menjadi tempat tumpuan dalam aliran tersebut.

Dalam laporan Bank Pembangunan Asia pada bulan Oktober 2010, ia telah memberi amaran bahawa bandar-bandar besar yang terletak di persisiran pantai rantau Asia akan menghadapi banjir yang lebih kerap, lebih besar sehingga mengganggu kehidupan harian jutaan penduduk. Dengan berlakunya peningkatan paras laut sedunia, maka ribut tropika dan taufan akan menjadi lebih kuat.

Daripada 10 buah bandar yang paling banyak didiami penduduk dan sedang berhadapan dengan risiko banjir yang tinggi, lima daripada bandar tersebut terletak di benua Asia, iaitu Kolkata, Shanghai, Bandar Ho Chi Minh, Vietnam dan Guangzhou di China. Pada tahun 2070 pula, sembilan daripada 10 bandar yang terancam adalah daripada negara-negara membangun di Asia.  

Untuk mengatasi masalah ini, lebih banyak perhatian dan usaha perlu diberikan oleh pihak-pihak yang berkaitan, khususnya kerajaan. Menurut Bob Dobias, ketua pasukan perubahan iklim di Bank Pembangunan Asia, bahawa masih ada masa yang mencukupi untuk mengatasi masalah ini  pada masa ini sebelum ia benar-benar berlaku.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia