Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 6064

Karbon dioksida merupakan gas rumah hijau yang paling banyak menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim. Manakala di tempat yang kedua pula ialah gas metana. Kebanyakan gas metana dibebaskan oleh sektor penternakan dan pembakaran bahan api fosil. Menurut pakar, 50% daripada gas metana yang terhasil adalah daripada aktiviti manusia dan peratusan ini kian meningkat saban tahun. Punca semula jadi gas metana adalah seperti kawasan paya, laut, kawasan tadahan air, dan tanah lembab

Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa gas metana lebih berbahaya daripada gas karbon dioksida, iaitu gas metana 33 kali lebih cenderung untuk memerangkap tenaga haba dalam atmosfera jika berbanding dengan gas karbon dioksida.

Pada masa ini, hampir semua usaha untuk mencapai persetujuan iklim yang baru tertumpu kepada pengurangan gas karbon dioksida sahaja. Langsung tidak ada sebarang tumpuan diberi kepada gas metana. Walaupun kepentingan utama harus diberikan kepada gas karbon dioksida, namun tidak boleh diabaikan terhadap gas rumah hijau yang lain seperti gas metana.

Gas metana juga terlerai lebih cepat daripada gas karbon dioksida. Oleh itu ia akan memberi kesan dengan serta-merta. Gas metana dan karbon monoksida juga memberi kesan negatif kepada gas sulfida yang terdapat di atmosfera. Gas-gas rumah hijau akan meleraikan gas sulfida dengan menggunakan agen pengoksidaan seperti gas hidroksi dalam atmosfera. Agen pengoksidaan yang semakin berkurangan ini akan menyukarkan proses perleraian gas sulfida kepada sulfat. Sulfat mempunyai kesan penyejukan dalam atmosfera dengan memantul balik haba. Tetapi kehadiran gas metana yang tinggi di atmosfera akan mengurangkan kesan penyejukan ini.

Dengan peningkatan permintaan terhadap barang makanan, gas metana yang dibebaskan ke atmosfera dijangka akan meningkat sekiranya tiada sebarang langkah pengawalan dilakukan.. Salah satu cara untuk mengurangkan pelepasan gas metana adalah dengan menukar amalan pemakanan, iaitu mengurangkan makan daging.  

Perubahan iklim harus ditangani daripada pelbagai sudut. Walaupun gas karbon dioksida menyumbang kepada perubahan iklim, tetapi gas-gas rumah hijau yang lain juga terlibat dalam proses tersebut. Oleh itu, pada masa yang akan datang, pemimpin-pemimpin dunia hendaklah juga memandang serius terhadap peranan gas-gas rumah hijau yang lain kepada prubahan iklim dan pemanasan global.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia