Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 667

Dalam bulan pertama tahun 2011 ini, banyak bencana alam dan malapetaka yang dikaitkan dengan iklim telah berlaku. Banjir besar yang hampir melumpuhkan seluruh bahagian timur Australia, musim kemarau yang melanda bahagian barat Australia, tanah runtuh di Brazil yang meragut hampir 700 nyawa dan ribut salji yang melanda di negara-negara hemisfera utara seperti Amerika Syarikat dan England.

Tahun 2010 sepatutnya merupakan tahun yang memberangsangkan dan penuh dengan harapan bahawa kebanyakan pencinta alam sekitar percaya bahawa dunia akan menurunkan kadar pelepasan gas karbon dioksida melalui perjanjian iklim baru. Namun, perbincangan iklim yang berlangsung di Cancun, masih tidak menghasilkan satu perjanjian iklim antarabangsa baru yang mewajibkan negara-negara untuk menurunkan kadar pembebasan gas rumah hijau. 

Adakah pula perubahan yang lebih baik untuk dilihat tahun 2011 ini? Adakah perjanjian iklim yang akan menggantikan Kyoto Protokol dapat dihasilkan? Atau percanggahan pendapat di antara negara maju dan negara-negara sedang membangun akan terus berlaku dan menjadi penghalang utama untuk pemimpin-pemimpin dunia untuk bersatu?

Berdasarkan kepada keadaan yang berlaku pada masa ini, nampaknya pada tahun ini pun, para pemimpin dunia masih lebih suka berunding dan bukannya mengambil tindakan. 

Adakah pemimpin-pemimpin dunia masih tidak menyedari bahawa masa terlalu suntuk untuk menangani isu perubahan iklim ini? Malah tahun 2010 telah diumumkan sebagai tahun yang paling panas dalam sejarah manusia.

Sewajarnya pada tahun ini para pemimpin dunia perlu berubah dalam cara menangani isu perubahan iklim dengan mengambil satu tindakan yang berkesan dan berterusan. 

Ketiadaan komitmen dan langkah-langkah yang berkesan ini menyebabkan bencana alam sekitar dan krisis ekonomi semakin ketara. Akhirnya keadaan ini menyebabkan sebahagian besar muka bumi ini tidak lagi sesuai untuk dihuni dan berjuta-juta penduduk dunia menjadi pelarian.

Komitmen merupakan perkara utama dalammenangani isu perubahan iklim dalam tahun 2011. Tanpanya, tahun 2011 juga bakal menjadi tahun yang menghampakan. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia