Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 682

Akhbar The Star keluaran 9 Disember 2010 menyiarkan beritan bertajuk “High water levels shock jetty residents”. Agak memeranjatkan apabila melihat berita dan gambar menunjukkan paras air laut naik secara mendadak semasa air pasang sehingga menghampiri pintu hadapan rumah di Weld Quay, Pulau Pinang.

Kejadian ini merupakan gejala awal yang dipaparkan kepada penduduk di kawasan tepi laut di Malaysia sekiranya tidak ada langkah serius diambil dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

Sampai kini masih belum terdapat secara kaedah yang berkesan dan praktikal dari segi dasar, undang-undang dan pendidikan kesedaran kepada orang ramai bagi menghadapi kesan perubahan iklim di Malaysia, termasuk juga di dunia.

Sesetengah pakar saintis memberi amaran bahawa dunia mungkin telah melepasi titik kritikal untuk membaik pulih situasi dunia dari segi perubahan iklim.

Perkara yang paling penting sekarang adalah bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan perubahan disebabkan oleh krisis ini.

Di Malaysia, kajian yang dijalankan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa paras laut dijangka akan meningkat disebabkan oleh pemanasan global. Kenaikan paras laut ini akan menyebabkan hakisan pesisiran pantai, peningkatan aktiviti gelombang laut, kemasukan air laut ke kawasan pedalaman dan penghijrahan infrastruktur tepi pantai.

Selain itu, menurut kajian NAHRIM pada tahun 2006, unjuran iklim tempatan di Malaysia menunjukkan peningkatan kadar hujan di kawasan timur utara dan penurunan kadar hujan di kawasan barat Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2050.

Selepas kegagalan Persidangan Iklim ke-15 (COP15) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009, tidak banyak harapan yang boleh diletakkan kepada COP16 yang berlangsung di Cancun, Mexico pada tahun 2010.

Namun, petanda-petanda baik telah dipamerkan di Cancun. Selepas 15 tahun perundingan dalam Kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC), kebanyakan delegasi telah bersetuju untuk mengiktiraf kajian-kajian sains yang telah dijalankan dan bakal membentuk persetujuan yang baru bagi menggantikan Protokol Kyoto yang bakal berakhir pada tahun 2012.

Dalam persidangan Cancun, isu-isu seperti perkongsian teknologi, perlindungan hutan dan peruntukan bantuan kewangan kepada negara-negara yang teruk terjejas oleh perubahan iklim banyak dibincangkan. Bencana-bencana iklim seperti banjir besar yang melanda di Albania, musim sejuk yang melampau di Eropah dan kejadian yang berlaku di Weld Quay, telah berlaku semasa persidangan ini dijalankan.

Kejadian di Weld Quay merupakan amaran awal bahawa peningkatan paras air laut sedang berlaku dan menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah negara yang bebas daripada bencana alam dari segi perubahan iklim.

Adalah diharapkan agar rancangan dan persetujuaan yang telah dirangka itu akan bertukar menjadi kaedah penyelesaian yang kukuh. Tanpa usaha-usaha yang gigih dan dedikasi, wakil kerajaan yang menghadiri persidangan dunia ini mungkin telah menghancurkan masa depan generasi yang akan datang.

Pada tahun 2011, Persidangan Iklim ke-17 (COP17) akan berlangsung di Durban, Afrika Selatan.


Foon Weng Lian,
Forum Air Malaysia.