Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 688

Baru-baru ini, hutan hujan tropika telah diberi tumpuan yang penting berbanding pada tahun-tahun sebelum ini. Negara-negara kaya seperti Norway and Amerika Syarikat telah berjanji akan mengeluarkan peruntukan berbilion-bilion dolar untuk membantu negara-negara yang mundur.

Selain itu, dana itu juga digunakan untuk membeli kredit karbon bagi melindungi kawasan-kawasan di negara mundur ini dengan membantu penduduk-penduduk memahami kepentingan hutan yang merupakan pembekal oksigen dan penyerap gas karbon dioksida.

Namun, dengan jumlah penduduk dunia yang semakin mencapai tujuh bilion, hutan menghadapi tekanan yang sama daripada penggalian, pertanian, pembalakan dan pembasmian hutan bagi memenuhi keperluan ekonomi dunia. Sudah tiba masanya untuk meletakkan nilai baru untuk hutan dan mengharapkan kerajaan dan syarikat-syarikat menghentikan pembalakan.

Apakah kepentingan hutan?

Menurut kajian, pembalakan dan pembakaran hutan terutamanya di kawasan paya bakau yang kaya dengan karbon, telah bertanggungjawab terhadap 12 hingga 17 peratus pelepasan gas rumah hijau manusia.

Ahli sains berkata peningkatan gas rumah hijau akan menyebabkan paras air laut meningkat dan lebih banyak cuaca ekstrem.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata menghentikan kemusnahan hutan merupakan salah satu perkara terpenting untuk melambatkan kesan perubahan iklim. Dengan itu, lebih banyak gas karbon dioksida yang dilepaskan daripada stesen jana kuasa, pengangkutan dan industri akan dapat diserap oleh hutan-hutan yang telah dipelihara ini.

Fungsi-fungsi hutan lain seperti membersihkan udara, kawasan tadahan air dan juga pembekal semula jadi kepada ubat-ubatan traditional serta ubat-ubat baru.

Pada bulan Oktober 2010, semasa perbincangan tentang alam sekitar yang diadakan di Jepun, banyak negara bersetuju untuk menurunkan kadar pembalakan hutan di negara masing-masing sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020 dan memastikan bahawa keuntungan yang didapati daripada hutan akan dijadikan sebagai dana untuk melindungi hutan-hutan.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh negara-negara?

Semasa perbincangan perubahan iklim pada tahun 2009 di Copenhagen, Amerika Syarikat, Norway, Jepun dan negara kaya yang lain telah berjanji untuk memberikan sumbangan dana sebanyak $3.5 bilion di antara tahun 2010 dan 2012 untuk menyokong skema pemuliharaan hutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dipanggil REDD.

Dana ini bertujuan untuk membiayai kos menurunkan pelepasan gas rumah hijau dan membantu negara-negara yang miskin memulihara hutan serta menghitung karbon yang telah diserap. Pasaran dunia dalam pengurangan karbon dengan hutan dianggarkan bernilai $30 bilion setahun.

Walau bagaimanapun, kebimbangan dari segi pengurusan kewangan, rasuah, kekurangan sumber dan institusi di negara-negara mundur ini menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur.

Sebanyak $4 bilion telah dapat dikumpul melalui rakan kongsi REDD yang diwujudkan pada Mei tahun ini. Wang ini akan digunakan untuk membina satu institusi dan mewujudkan projek-projek utama bagi REDD di negara-negara mundur tersebut.

Apakah kadar pembasmian hutan masa kini?

Di seluruh dunia, kawasan hutan adalah sama dengan jumlah keluasan England, ataupun hampir 13 juta hektar, telah hilang disebabkan pertanian dan kegunaan lain ataupun bencana alam di antara tahun 2000 dan 2010.

Pada tahun 1990-an dianggarkan sebanyak 16 juta hektar setahun.

Brazil dan Indonesia telah melambatkan kadar pembasmian hutan mereka melalui usaha pemuliharaan hutan. Penghutanan semula yang berskala besar telah dijalankan di China, India dan Vietnam juga telah meningkatkan pemulihan kawasan hutan.

Apakah akibatnya sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membasmi kemusnahan hutan?

Pada 2008, Eliasch Review bagi kerajaan British telah menganggarkan bahawa kerugian sebanyak $1 trilion setahun menjelang tahun 2100 sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membasmi kemusnahan hutan mulai daripada sekarang.

Ia berkata bahawa menurunkan kadar pembasmian hutan sebanyak 50 peratus akan menjana pendapatan sebanyak $3.7trilion bagi jangka masa yang panjang.

Kesimpulannya, dalam usaha untuk menangani masalah perubahan iklim, proses pemuliharaan hutan merupakan kaedah paling jimat dan berkesan pada masa hadapan.

 


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia