Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 1700

Selama beberapa puluh juta tahun, laut telah mengekalkan tahap asiditi yang stabil. Dalam kestabilan ekosistem laut inilah yang membolehkan kepelbagaian hidupan yang terdapat dalam laut yang luas. Namun, kajian telah menunjukkan kestabilan sejak dulu ini telah terjejas disebabkan oleh penurunan mendadak dalam pH permukaan air laut yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada laut seluruh dunia.

Sejak permulaan revolusi perindustrian pada awal 1800-an, mesin-mesin yang bergantung kepada bahan api fosil telah dicipta dan membolehkan sektor industri bertambah pesat dan maju. Walau bagaimanapun, kesan daripada pembangunan ini telah menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida dan gas rumah hijau yang lain yang tidak dapat dianggarkan ke dalam atmosfera bumi.

Ahli sains mendapati bahawa separuh daripada gas karbon dioksida akan diserap oleh laut sejak dahulu lagi. Lautan yang luas telah membantu kita melambatkan kesan pemanasan global. Namun, kajian-kajian baru menunjukkan bahawa penyerapan gas karbon dioksida yang berlebihan telah menyebabkan keasidan air laut meningkat. Peningkatan ini akan mendatangkan kesan yang buruk terhadap kitar hidup banyak hidupan marin, terutamanya hidupan yang berada pada tahap rendah dalam rantai makanan.

Asid Karbonik

Apabila gas karbon dioksida larut dalam air laut, asid karbonik akan terbentuk. Ini akan menyebabkan keasidan meningkat, terutamanya pada permukaan air laut. Kesannya telah terbukti bahawa ia akan menjejaskan pertumbuhan dan pembiakan organisma marin seperti ikan dan batu karang.

Dalam skala pH (0 – 14), larutan dengan pH yang tinggi bersifat alkali, manakala yang rendah bersifat asid, iaitu 7 merupakan neutral. Dalam 300 juta tahun, pH laut adalah bersifat alkali dan puratanya ialah hampir 8.2. Pada masa ini, pH air laut adalah 8.1, iaitu penurunan sebanyak 0.1 unit pH ini juga merupakan pertambahan sebanyak 25% keasidan dalam tempoh dua abad sahaja.

Tempat Simpanan Karbon

Laut sekarang menyerap hampir dua pertiga daripada gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia, iaitu hampir 22 juta ton sehari. Unjuran menunjukkan bahawa sekiranya angka ini berlarutan, pada akhir abad ini pH laut akan menurun sebanyak 0.5 unit lagi. Hidupan laut yang membentuk kerang seperti batu karang, tiram, udang karang, plankton, dan ikan akan teruk terjejas.

Apa yang lebih membimbangkan ialah sekiranya laut terus menyerap gas karbon dioksida pada kadar seperti ini, maka pada suatu hari nanti, kapasiti laut untuk menyerap lagi akan lenyap. Ini bermaksud gas karbon dioksida yang kita lepaskan akan terus berada di atmosfera bagi merancakkan lagi perubahan iklim dunia.

Kesedaran saintifik mengenai asidifikasi masih baru. Ahli sains sedang bertungkus-lumus menjalankan kajian mengenai kesan asidifikasi ini kepada ekosistem marin. Hakikatnya, sekiranya manusia tidak mengawal dan menghentikan pembakaran bahan api fosil, organisma laut akan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Tekanan ini akan menyebabkan organisma laut ini susah untuk menyesuaikan diri kepada perubahan kimia habitat mereka dan akhirnya pupus.

Kesimpulan

Laut merupakan sumber asli yang sangat bernilai kepada kita. Kehidupan kita jelas berkait rapat dengan kesihatan laut kita. Sekiranya kita tidak bertindak segera dengan mengawal penggunaan bahan api fosil, kita memang sedang mengundang padah untuk diri sendiri dan generasi akan datang.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia