Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 755

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) dalam 2007 Climate Change Synthesis Report melaporkan bahawa pemanasan global adalah benar dan sedang berlaku.

IPCC juga menyatakan bahawa 60 peratus daripada jumlah karbon dioksida yang dilepaskan adalah daripada sektor tenaga.

Melalui peningkatan suhu yang dapat diperhatikan dalam purata suhu udara dan laut sedunia, kecairan ais dan salji yang berleluasa dan peningkatan purata paras air laut sedunia jelas menunjukkan pemanasan global sedang berlaku.


Corak cuaca ekstrim yang sedang kita alami pada masa ini merupakan hasil daripada pemanasan global.

Kesan-kesan pemanasan global ini menunjukkan kepentingan untuk memelihara dan menguruskan sumber semula jadi dengan baik.

Di Malaysia, kita masih menggunakan campuran arang batu dan gas asli untuk menjana tenaga dan sebahagian besarnya digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Walau bagaimanapun, sumber-sumber asli yang tidak boleh diperbaharui ini akan kehabisan pada masa yang akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) dan Model Ekonomi Baru, kerajaan bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan ekonomi kurang karbon. Ini telah mencadangkan kedahagaan kita terhadap sumber-sumber asli seperti arang batu, minyak dan gas asli harus berhijrah kepada tenaga alternatif yang lebih mesra alam dan lestari. Contohnya, penjanaan elektrik melalui suria, biojisim dan hidro.

Inovasi adalah kritikal dalam perjalanan menuju ke negara maju yang berkecekapan tenaga.

Dalam RMK8, kerajaan telah menggabungkan tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy, RE) sebagai sumber ke-5 dalam campuran tenaga yang sedia ada. RE merangkumi biojisim, biogas, tenaga hidro, angin, ombak, pasang laut, geothermal dan senarai ini masih bertambah.

Pada akhir Disember 2009, jumlah kapasiti RE yang disambung ke grid hanya 53MW daripada sumber RE dan 1MW daripada sel suria fotovoltaik.

Sumbangan RE sebanyak 0.15% ini ke dalam campuran penjanaan elektrik negara kita adalah tidak menghairankan.

Kini, RE merupakan sesuatu yang penting dalam usaha reformasi penggunaan tenaga.

Negara seperti Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Itali mempunyai banyak program RE dan telah menjadi saingan pemerintah-pemerintah dunia dalam pembangunan RE.

Negara-negara di atas telah menunjukkan dunia bahawa RE hanya boleh berkembang dengan usaha kerajaan melalui polisi tenaga sesebuah negara.

Pada 4 April 2010, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju dalam polisi dan pelan tindakan RE baru.

Polisi RE ini menyatakan pertambahan dalam penggunaan sumber RE untuk membekalkan dan menjamin penjanaan eletrik dalam negara dan pembangunan sosioekonomi yang lestari.

Mekanisme Feed-In Tariff (FiT) merupakan langkah asas yang digunakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan RE dalam Malaysia.

Ini merupakan mekanisme khas dalam membenarkan elektrik yang dijanakan oleh sumber RE akan dijual kepada pembekal elektrik pada harga dan tempoh yang telah ditetapkan.

Laporan daripada International Energy Agency,United Nations Development Programme dan the Stern Review Report bersetuju bahawa mekanisme Feed-In Tariff
merupakan program insentif kerajaan yang berkesan untuk teknologi yang boleh diperbaharui.

Negara-negara yang telah mengaplikasikan FiT telah menunjukkan kadar petumbuhan yang besar dalam penggunaan teknologi RE.

Dengan polisi dan pelan tindakan RE yang baru berada di atas landasan, Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam penggunaan RE di rantau ini.

Matlamat Malaysia adalah pada hujung RMK10 dan pada tahun 2020, teknologi RE mampu membekalkan 1 giga watts atau 6% dan 2 giga watts atau 11% dalam campuran penjanaan elektrik.

Mekanisme FiT akan berupaya untuk mengelakkan pelepasan sebanyak 11.1 juta dan 42.1 juta ton gas karbon dioksida daripada sektor penjanaan tenaga pada 2015 dan 2020.

Kementerian telah memulakan draf untuk Rang Undang-Undang Tenaga Yang Boleh Diperbaharui. Rang Undang-Undang ini akan merangkumi semua fafaktor kritikal yang diperlukan untuk memastikan kejayaan sektor RE dalam negara kita. Selain itu, akses ke grid tenaga untuk pengeluar swasta dan kadar FiT yang boleh membawa keuntungan yang lumayan dalam pelaburan.

Dengan kerangka undang-undang yang telah berada di atas landasan, kita akan berupaya untuk meninjau semula kegagalan dan halangan-halangan dalam 10 tahun yang lepas apabila kita bermula dengan Polisi Bahan Api Ke-5.

RE memerlukan lebih banyak fokus dan semua pihak mesti memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap perlaksanaan tenaga hijau.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia