Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 642

“Gol!!!!!” itulah jeritan yang sering kita dengari sepanjang bulan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 12 Julai 2010. Sementara menyaksikan perlawanan-perlawanan piala dunia ini dengan kawan-kawan sambil menjerit gol, pernahkah anda terfikir bahawa Piala Dunia 2010 ini mempunyai kesan kepada perubahan iklim?

Mengikut kajian yang dilakukan oleh kerajaan Afrika Selatan dan duta Norway ke Afrika Selatan, piala dunia yang pertama kali mengambil pentas di Afrika Selatan akan membebaskan lapan kali ganda jejak karbon berbanding dengan jumlah jejak karbon yang dibebaskan ke atmosfera pada Piala Dunia 2006 di Jerman.

Pengangkutan tempatan, pembinaan stadium-stadium, tenaga yang digunakan semasa perlawanan berlangsung dan tempat penginapan ribuan peminat bola sepak dari seluruh dunia dijangka menyumbangkan hampir 900,000 ton karbon dioksida. 1.9 juta ton karbon dioksida akan ditambah ke dalam jumlah jejak karbon ini mewakili angka karbon dioksida daripada perjalanan pergi dan balik antarabangsa ke Afrika Selatan.

Angka-angka jejak karbon lain seperti perhimpunan besar bagi menyaksi piala dunia dan sambutan apabila sesebuah pasukan mara ke peringkat seterusnya belum diambil kira lagi.

Dengan bajet sebanyak A$10 juta, kerajaan Afrika Selatan berhasrat untuk menurunkan penggunaan bahan api fosil dengan memasang panel suria matahari dan lampu yang cekap tenaga di jalan raya, lampu isyarat, papan iklan, dan diikuti dengan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk.

Brazil yang merupakan tuan rumah bagi Piala Dunia 2014, berhasrat untuk menganjurkan piala dunia yang paling mesra alam dalam sejarah. Dengan memperketatkan syarat mendapatkan geran bagi projek membina dan membaik pulih stadium. Begitu juga reka bentuk projek tersebut perlu mendapat pengiktirafan mesra alam sebelum mendapat geran.

Jadi, bagaimanakah kita boleh membantu untuk mengurangkan jejak karbon kita di samping menikmati kehangatan piala dunia ini?

Ikutilah cara-cara seperti berikut:

- Berkongsi kereta jika ingin menuju ke sesuatu tempat bagi menyaksikan perlawanan.
- Semasa membeli jersi pasukan kesukaan, pilihlah jersi yang mesra alam seperti jersi yang diperbuat daripada penutup botol plastik dan mesra alam.
- Amalkan kitar semula untuk menguruskan bahan-bahan yang boleh diguna semula seperti tin-tin minuman selepas menyaksikan perlawanan.
- Tidak merokok semasa menyaksikan perlawanan.
- Tutupkan televisyen dan Komputer sebelum perlawanan siaran langsung atau tertunda bermula..

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia