Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 1680

Setiap hari terdapat beribu-ribu kenderaan bergerak di jalan raya. Sebahagian besar daripadanya adalah penyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Setiap kali memandu di jalan raya, kita dapat melihat bas-bas lama yang mengeluarkan asap hitam. Asap hitam ini bukan sahaja berbahaya kepada persekitaran, tetapi juga beracun kepada kesihatan manusia.

Bas berasap hitam merupakan isu-isu yang tidak akhir di Malaysia. Semenjak sekian lama kita melihat bas-bas yang mengeluarkan gas rumah hijau itu, namun tiada tindakan yang diambil ke atas mereka.


Kerajaan telah mengeluarkan dasar dan panduan untuk menangani situasi perubahan iklim, tetapi tanpa tindakan tegas, maka pengurangan pelepasan karbon tidak akan berkurangan.

Dalam Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen Denmark tahun lalu, Perdana Menteri membuat jaminan untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida di Malaysia sehingga 40 peratus pada tahun 2020. Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas juga menyatakan bahawa Malaysia sudah mencadangkan langkah-langkah untuk mengurangkan pembebasan.

Namun, usaha kerajaan akan sia-sia sahaja jika tiada tindakan tegas diambil berdasarkan peraturan sedia ada. Kerajaan berjanji untuk mengurangkan pembebasan gas karbon, tetapi tidak bertindak dan fokus terhadap isu-isu yang menyumbang kepada pembebasan gas karbon.

Banyak tindakan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Kita perlu mengetahui permintaan kita demi mencipta keperluan kita.

Sebagai contoh, sistem pendingin hawa berpusat pada sebahagian besar bangunan kerajaan sememangnya bukan satu idea yang baik untuk situasi sekarang. Pendingin hawa dibuka sepanjang masa di seluruh tempat, tetapi banyak tempat yang tiada orang. Jadi, adakah sistem pendingin hawa berpusat ini memenuhi tujuannya atau sekadar memboroskan tenaga?

Selain itu, kurangkan pembaziran dalam setiap program yang diadakan. Kita sering mendapati banyak makan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Adakah sisa makanan ini punca untuk penghasilan tenaga biojisim?

Sebenarnya, pembebasan gas rumah hijau boleh dikurangkan dengan mengurangkan permintaan kita kepada keperluan harian. Hal ini adalah senang dan ringkas seperti menukar mentol lampu anda.

Dengan kapasiti dan kesedaran yang masih rendah di Malaysia pada masa kini, Malaysia masih jauh ketinggalan daripada negara maju dalam mengendalikan perubahan iklim. Jadi, Malaysia mesti bertindak sekarang dalam melaksanakan penggunaan lestari demi mengurangkan kesan sosial dan ekologi, serta melaksanakan pembangunan lestari untuk memelihara keperluan masa depan.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
16 Jun 2010