Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 2196

Perubahan iklim boleh memudaratkan kesihatan, menggugat kewujudan negara-negara berada pada berparas laut yang rendah dan keselamatan makanan seperti sumber perikanan. 

Ikan membekalkan sumber protein yang diperlukan oleh penduduk dunia. Ia juga merupakan makanan utama bagi penduduk negara-negara di pesisiran pantai yang mempunyai makanan dan peluang pekerjaan yang terhad. Kesan-kesan akan berlaku adalah terlalu besar sehingga menyebabkan nelayan dan sektor akuakultur tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri kepada perubahan ini.


Perubahan iklim menyebabkan perubahan pada suhu lautan, sistem air tawar, hujan lebat yang berterusan, kenaikan paras laut, suhu air pedalaman yang lebih tinggi dan kemarau. Cuaca-cuaca yang melampau seperti ini membahayakan dan memberi kesan buruk kepada sumber perikanan.

Di Malaysia, jumlah penangkapan ikan pada tahun 2008 adalah 1.7 juta ton metrik, yang bernilai US$1.5 bilion. Daripada jumlah tangkapan itu, 79.5% merupakan ikan daripada sumber liar, manakala akuakultur hanya menyumbangkan 20.5%.

Ini jelas menunjukkan Malaysia amat bergantung kepada tangkapan ikan liar. Pada masa yang sama, Jabatan Perikanan Malaysia menghitung menyatakan penggunaan sumber ikan per kapita tahunan adalah 52kg dan telah meningkat ke 56kg pada tahun 2010.

Keperluan ikan per kapita setahun di Malaysia adalah dua kali ganda daripada Thailand dan juga China. Walau bagaimanapun, kita masih jauh ketinggalan di belakang Jepun dan Korea. 

Bagi memenuhi keperluan sumber protein rakyat Malaysia, perlu dipastikan tempat-tempat yang terdedah kepada perubahan iklim. Penyelidikan dan kajian hendaklah dijalankan untuk membentuk satu strategi yang berkesan untuk membolehkan penyesuaian oleh ikan-ikan, nelayan dan juga akuakultur di Malaysia.

Contohnya, dengan mengintegrasikan akuakultur dan agrokultur, petani dapat menangani masalah kemarau di samping mengaut keuntungan dan mendapat sumber protein. Di Malawi, skim yang mengintegrasikan kolam akuakultur dengan penanaman tradisional telah banyak membantu petani semasa musim kemarau.

Selain daripada tertumpu untuk menambah penangkapan ikan, Jabatan Perikanan juga hendaklah meningkatkan dan memperkenalkan cara penyesuaian yang lain seperti mengait jala dan menanam tanaman yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan.

Sebagai kesimpulan, usaha-usaha harus dipergiatkan untuk memahami bagaimana dan mengapa perubahan iklim boleh menjejaskan sektor perikanan dan akuakultur. Selanjutnya, kajian dan penyelidikan tentang perikanan lestari harus diberi penekanan dan diterbitkan secara meluas. 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
3 Jun 2010