Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 13391

Rekod sampel teras dari kutub selatan, jadual pasang-surut laut, dan kebelakangan ini, pengukuran satelit telah menunjukkan kenaikan purata paras laut dunia sebanyak 10 hingga 20 sentimeter dalam abad ini. Tetapi, sejak 20 tahun kebelakangan ini, kadar peningkatan tahunan telah mencecah 3.2 milimeter setahun, hampir dua kali ganda purata kelajuan untuk baki 80 tahun sebelum itu.

Pada abad yang lalu, pembakaran bahan api fosil, aktiviti-aktiviti manusia dan semula jadi telah melepaskan banyak gas yang memerangkap haba ke dalam atmosfera. Pelepasan gas-gas ini telah menyebabkan suhu permukaan Bumi semakin meningkat. Lautan memainkan peranan dengan memerangkap dan menyimpan 80 peratus daripada haba-haba yang berlebihan ini.


Kenaikan paras laut dikaitkan kepada tiga faktor utama, yang semuanya disebabkan oleh perubahan iklim dunia dan pemanasan global:

Pengembangan haba: Apabila air dipanaskan, ia akan mengembang. Hampir separuh daripada kenaikan paras laut dalam beberapa abad yang lalu disebabkan oleh suhu laut yang lebih panas dan memerlukan lebih banyak ruang. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan paras laut meningkat.

Kecairan Glasier dan Litupan Ais di Kutub: Biasanya glasier dan litupan ais akan cair pada kadar yang tetap pada musim panas. Apabila tiba musim sejuk, salji yang dihasilkan daripada air laut yang menguap, akan mengimbangi kembali kadar kecairan. Semenjak kebelakangan ini, suhu tinggi yang berpanjangan hasil daripada pemanasan global telah menyaksikan kadar kecairan salji yang lebih cepat dan tinggi. Selain itu kecairan salji juga disebabkan oleh musim sejuk yang lewat dan musim bunga yang tiba lebih awal. Ketidakseimbangan ini telah memberi kesan kepada pengaliran lawan penguapan di laut, dan kesannya ialah kenaikan paras laut.

Kelesapan Ais di Greenland dan Antartika Barat: Untuk glasier dan litupan ais, kenaikan suhu telah mempercepatkan kecairan litupan ais yang besar di Greenland dan Antartika. Ahli sains juga percaya bahawa ais yang cair di permukaan dan lautan di bawah litupan ais sedang mengalami kecairan pada kadar yang lebih cepat.

Akibat-akibat

Semasa paras laut meningkat pada kadar yang cepat, penambahan yang sedikit akan mendatangkan kesan yang buruk kepaa habitat di pesisiran pantai. Jika air laut memasuki kawasan yang lebih dalam di pedalaman, ia akan menyebabkan hakisan, pembanjiran kawasan seperti kawasan paya bakau dan tumbuhan di tepi sungai, pencemaran di kawasan tadahan air tawar dan kawasan penanaman, kehilangan habitat burung, ikan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Apabila ribut besar melanda dan air laut berada yang paras lebih tinggi, maka ia akan menyebabkan ribut yang lebih besar dan berkemampuan untuk memusnahkan apa sahaja yang berada di laluannya.

Selain itu, berjuta-juta orang yang tinggal di kawasan tersebut akan terdedah kepada banjir kilat. Kenaikan paras laut yang tidak terkawal akan memaksa mereka meninggal tempat tinggal mereka dan berpindah ke tempat yang lain. Pulau-pulau kecil seperti Maldives dan Tuvalu akan ditenggelami air sepenuhnya.

Apakah tahap ketinggian yang mungkin berlaku jika pemanasan global berlarutan?

Kebanyakan ramalan dan kajian telah mengesahkan bahawa pemanasan global akan berlarutan dan kian memberi kesan yang buruk. Paras laut dijangka akan terus meningkat, tetapi kadar peningkatannya sukar untuk diramal. Dalam satu kajian yang telah dijalankan, paras laut akan naik sebanyak 0.8 hingga 2 meter pada tahun 2100, yang cukup untuk menenggelamkan banyak bandar di pesisiran pantai di seluruh dunia. Di samping itu, sekiranya litupan ais di Greenland telah cair sepenuhnya, maka paras laut dunia akan naik sebanyak 7 meter. Keadaan ini boleh menyebabkan bandar-bandar besar seperti New York, London, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain ditenggelami air sepenuhnya.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
19 Mei 2010