Print
Category: Perubahan Iklim
Hits: 1513

Dalam beberapa dekad ini, Malaysia telah menyaksikan pembangunan yang pesat dalam sektor pengangkutan berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain. Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, kadar peningkatan kereta adalah paling tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan yang lain. 

Berdasarkan laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur yang menggunakan pengangkutan awam. Keadaan ini telah menyumbang kepada penambahan jumlah kereta di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

 

(Sumber: Malaysia Automotive Association, 2010)

Pada tahun 1993, Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan satu kajian tentang kualiti udara di Lembah Klang, dengan kerjasama Agensi Perbadanan Antarabangsa Jepun (Japanese International Cooperation Agency - JICA). Rumusan kajian tersebut memberi amaran bahawa pencemaran udara akan menjadi tidak terkawal pada masa hadapan jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil. Kajian ini menunjukkan bahawa sekiranya Malaysia terus mengabaikan tentang kadar pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar, maka kadar pencemaran akan bertambah teruk dan kos pencegahan akan semakin meningkat. 

Hakikatnya, pada tahun 2008, sebanyak 18 juta kenderaan telah didaftarkan di Malaysia. Jumlah ini merekodkan kadar pelepasan gas rumah hijau sebanyak 4.9 juta metrik ton ke udara dan persekitaran. 

Sebab Utama: Kesesakan Lalu-lintas
Peningkatan taraf hidup rakyat di Malaysia telah menyebabkan berlaku kenaikan jumlah kereta di jalan raya. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Syarikat Prasarana Nasional Bhd (SPNB), terdapat 2.2 juta kereta masuk ke kawasan bandar pada setiap hari. Waktu antara 8.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 6.00 petang hingga 7.00 petang merupakan waktu puncak yang mengalami kesesakan teruk. 

Berdasarkan satu kajian, kesesakan lalu-lintas telah menyumbang lepada peningkatan penggunaan minyak sebanyak 30 peratus. Sebagai contoh, aliran traffik di Lebuh Raya Persekutuan adalah sebanyak 100,000 kenderaan dari Klang ke Kuala Lumpur. Jumlah minyak yang diperlukan untuk sampai ke destinasi adalah 10 liter. Pada masa yang sama, 0.7kg merupakan gas rumah hijau yang dihasilkan oleh setiap kenderaan. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kesesakan lalu-lintas, penggunaan minyak meningkat sebanyak 30 peratus, iaitu lebih 3 liter diperlukan untuk sampai ke destinasi. Jika diukur dengan jumlah wang, sebanyak RM5.40 diperlukan untuk membayar 3 liter tambah itu. Akibatnya, 300,000 liter minyak dan RM540,000 dibazirkan, dan diikuti dengan 70 tan gas rumah hijau dilepaskan di atmosfera pada setiap hari hanya disebabkan oleh kesesakan lalu-lintas. 

Jika dilihat pada jumlah kenderaan yang didaftarkan di Malaysia, iaitu sebanyak 500,000 kenderaan baru yang didaftar pada tahun 2009, maka kesesakan lalu-lintas, penggunaan minyak dan kadar pelepasan gas rumah hijau akan bertambah teruk. 

Penyelesaian 
Pelbagai cara telah dijalankan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Walau bagaimanapun, cara-cara yang lebih berkesan kurang mendapat perhatian orang ramai. Salah satu cara ialah amalan berkongsi kereta dan menggunakan pengangkutan awam seperti sistem transit ringan (LRT), bas dan keretapi (KTM). Selain itu, elakkan melalui jalan yang sesak dan cuba menggunakan jalan-jalan yang terdekat  ke destinasi juga merupakan cara-cara yang baik. Semua cara ini dapat menjimatkan minyak dan masa secara berkesan. Apa paling penting ahíla ia dapat mengurangkan bilangan kereta di jalan raya dan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera.

Berbasikal dan berjalan kaki merupakan pilihan yang bijak sekiranya destinasi berada dalam lingkungan 1 kilometer. Sejak harga minyak tidak menentu, semakin ramai yang menggunakan pengangkutan awam. Justeru, kerajaan harus memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan dan menaik taraf pengangkutan awam yang sedia ada untuk memenuhi keperluan penumpang. Dengan itu, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan kehidupan hijau dapat dicapai. 

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, cara hidup dan juga tabiat rakyat yang perlu diubah seiring dengan usaha kerajaan dalam mengurus dan menyelesaikan kesesakan jalan raya di Malaysia.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
13 Mei 2010