Print
Category: Isu Umum
Hits: 505

Malaysiakini9 Feb 2021, 3:10 pm

Gara-gara menjual nasi bungkus berlauk kambing dengan harga tinggi, sebuah kedai makan di Kubang Kerian, Kota Bharu, dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan semalam.

Pengarahnya Adnan Abd Rahman berkata tindakan itu diambil susulan peniaga tersebut tidak mempamerkan tanda harga pada makanan yang dijual dan pihaknya menerima aduan daripada pengguna.

"Satu aduan awam diterima KPDNHEP Kota Bharu berkaitan satu premis tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual di Kubang Kerian.

"Sebelum itu pengadu membuat pembelian dua nasi bungkus berlauk kambing dengan harga sebanyak RM38, namun pengadu tidak berpuas hati dengan harga setelah membuat bayaran pembelian tersebut kerana harga terlalu tinggi dan tiada tanda harga dipamerkan.

"Pengadu tampil ke pejabat dengan membuat aduan rasmi berkaitan pengaduan tersebut beserta bukti pembelian dari premis terbabit," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Sehubungan itu Adnan berkata, sepasukan penguat Kuasa KPDNHEP Kota Bharu menyiasat aduan tersebut dan hasil siasatan dijalankan mendapati memang tiada tanda harga dipamerkan di premis berkenaan.

"Satu tindakan kes dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas premis gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual," katanya.

Adnan menambah sejak Jan lalu sehingga kini sebanyak 44 kes diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 oleh KPDNHEP Kelantan.

"KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada semua peniaga agar mempamerkan tanda harga supaya pengguna boleh membuat pilihan dan perbandingan sebelum pembelian.

"Pengguna juga boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan KPDNHEP tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap premis-premis yang melanggar undang-undang," tegasnya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/562317