Print
Category: Isu Umum
Hits: 557

16 Februari 2021
KUALA LUMPUR - Penyewa unit Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membuang sampah dari kediaman boleh dikenakan tindakan penamatan perjanjian tempoh penyewaan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu sebagai mesej kepada penghuni atau penyewa dan yang lain-lain supaya menjaga kebersihan di kawasan PA dan PPR DBKL.

Menurutnya, sejumlah enam kes penghuni atau penyewa telah ditamatkan tempoh penyewaan pada tahun 2020 kerana kesalahan membuang sampah serta peralatan dari aras atas kediaman.

“Penyewa yang menghuni unit-unit PA dan PPR di bawah seliaan DBKL perlu menandatangani Surat Perjanjian Penyewaan sewaktu menerima tawaran menduduki kediaman ini.

“Penyewa perlu mematuhi semua syarat-syarat perjanjian yang terkandung di dalamnya dan sekiranya gagal dan melanggar syarat termasuk membuang sampah dari kediaman, mereka boleh dikenakan tindakan penamatan perjanjian tempoh penyewaan,” katanya.

Katanya, notis 30 hari (bagi tujuan penamatan perjanjian) akan dikeluarkan kepada ketua penyewa sekiranya berlaku pelanggaran syarat perjanjian tersebut.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga kes di mana notis amaran sahaja yang dikeluarkan kepada penghuni kerana didapati membuang sampah kecil.

“Bagi membendung masalah (sampah) ini, DBKL (juga) mengambil langkah memasang jaring seperti di lokasi PPR Seri Pantai dan PPR Desa Tun Razak, Cheras.

“Pemasangan jaring ini sebagai alternatif jangka pendek bagi menguruskan kawasan yang berpotensi tinggi terlibat dengan masalah sampah dan kebersihan,” katanya.

Katanya, pelantikan ketua-ketua blok atau ketua tingkat di setiap PA serta PPR juga dibuat sebagai pemantau kepada masalah kebersihan di sesuatu lokasi perumahan.

“Persatuan penduduk pula berperanan untuk mendidik dan memaklumkan penjagaan kebersihan di kawasan PA dan PPR kepada ahli-ahli mereka.

“Di peringkat kontraktor pembersihan pula, tahap kerja pembersihan dipergiatkan lagi dengan pemungutan sampah ‘bulky waste’ di setiap tingkat,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/124066/BERITA/Nasional/DBKL-tamat-perjanjian-sewa-jika-penduduk-buang-sampah
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf