Print
Category: Kewangan
Hits: 698

Sebelum melakukan sebarang pelaburan, orang ramai diingatkan agar menyelidiki sebarang berkaitan tukaran mata wang bagi mengelak dari menjadi mangsa.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, jika pelaburan dibuat menerusi syarikat, mereka perlu memastikan ia berlesan dan dibenarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

“Namun, jika dagangan pertukaran asing (Forex) dijalankan secara individu menerusi online, biasanya tiada lesen.

“Risikonya mereka perlu tanggung sendiri lebih-lebih lagi kalau tidak faham untuk berurus niaga sendiri secara online. Forex bersifat teknikal dan perlukan kemahiran. Di Malaysia, BNM tidak benarkan perniagaan mata wang secara individu, kerana itu mereka menggunakan platform online," katanya.

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan kursus-kursus yang dianjurkan pihak tertentu dengan mendakwa kononnya Forex itu sah dan patuh syariah.

"Istilah-istilah ini agak mengelirukan, sedangkan sesetengah syarikat atau individu itu tidak beroperasi secara sah.

"Apabila teknik yang dipelajari digunakan untuk berurus niaga dalam Forex, hasilnya pula tidak sama seperti diharapkan, malah rugi pula. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanya mengaut keuntungan sahaja. Berhati-hati dengan mata wang Iraq," katanya.

Ada pihak bertanggungjawab menjual mata wang Iraq mengikut pakej dengan menyatakan duit Iraq akan menjadi tinggi nilainya apabila negara itu selesai berperang.

"Ketika ini, nilai mata wang Iraq rendah. Persoalannya, benarkah duit itu benar-benar mata wang Iraq atau duit palsu? Sampai bila perang Iraq akan selesai? Ia sangat meragukan, jadi berhati-hatilah," katanya.

 

Sumber : Sinar Harian - (19 Oktober 2015, Isnin)