José Efraín Ríos Montt, bekas diktator de facto Guatemala yang pernah menjalani latihan di Sekolah Tentera di Amerika Syarikat, sedang berada dalam perbicaraan untuk pembunuhan beramai-ramai (dikenali sebagai genocide).

Istilah pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang digunakan mengenang kembali kepada satu filem yang telah ditontoni, ‘Interpreter’, di mana salah satu watak dalam filem itu telah didakwa dengan jenayah terhadap kemanusiaan (‘crimes against humanity’). Namun, Robert Coalson, wartawan Radio Liberty (di Eropah) menyatakan bahawa jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai adalah dua konsep yang berbeza. Jenayah terhadap kemanusiaan lebih menjuru kepada pembunuhan terhadap individu tetapi pada jumlah yang besar. Manakala, pembunuhan beramai-ramai merujuk kepada pemusnahan kumpulan. Erti kata lain, sebilangan besar individu yang membentuk satu kumpulan.

Walaupun kedua-dua jenayah itu berlainan konsep, namun kedua-dua telahpun melanggar hak asasi manusia.


Hak asasi manusia adalah hak sejagat dimana kita semua berhak mendapat hak yang sama, tanpa mengira kewarganegaraan, jantina, agama, budaya, kumpulan etnik dan lain-lain. Hak asasi manusia dan pembangunan lestari mempunyai satu hubungan yang unik di mana ia tidak boleh dipisahkan, bak kata pepatah, ‘air dicincang tidak akan putus’. Menghormati hak asasi manusia telah diiktiraf sebagai prasyarat untuk pembangunan. Sekiranya hak-hak asasi manusia rakyat terancam, iaitu kekurangan akses kepada makanan, kesihatan, pendidikan, tempat tinggal serta kebebasan untuk bersuara, maka hilangnya juga hak rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan lestari. Justeru, pembangunan lestari hanya boleh berkembang jika hak asasi manusia dilindungi.

Malangnya, kekurangan pengetahuan dalam keupayaan undang-undang ini sering menafikan hak individu masing-masing. Justeru, setiap individu haruslah sedar akan hak mereka terutamanya apabila hak asasi manusia dan pembangunan lestari berkait rapat. Golongan belia yang kini akan meneruskan perjuangan untuk pembangunan social dan ekonomi yang mengutamakan alam sekitar, budaya, bangsa serta hak asasi manusia haruslah diletakkan di tengah agenda Negara. Tanpa menghormati hak asasi manusia, keupayaan orang ramai untuk maju ke masa depan yang lestari tidak akan berjaya.