Baru- baru ini, Dewan Rakyat telah meluluskan satu bil ataupun rang undang-undang baru – Bil Perhimpunan Awam (PA 2011) - walaupun ia ditentang dengan sekeras-kerasnya oleh pembangkang, Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan NGO Hak Asasi Manusia.

Rang Undang-Undang ini dikatakan lebih ketat dan menyekat jika dibanding dengan undang-undang semasa.  Terdapat peruntukan di bawah PA 2011 yang mengharamkan perarakan bergerak ataupun “demonstrasi tunjuk perasaan”.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 antaranya mengandungi larangan berhimpun kurang dari 50 meter dari hospital, stesen petrol, balai bomba, infrastruktur pengangkutan, rumah ibadat, sekolah dan empangan.

Mengikut larangan seperti di atas, ia sudah pasti bahawa perhimpunan awam tidak boleh diadakan di Bandar raya seperti Kuala Lumpur. Apatah lagi larangan 50 meter dari rumah ibadat?

Adakah ini bermaksud umat Islam tidak boleh berkumpul sebelum atau selepas sembahyang Jumaat mereka? Ataupun, adakah ini bermaksud perarakan beragama yang lain seperti Thaipusam dan perarakan Hari Wesak pun tidak dibenarkan?

Menurut undang-undang yang wujud pada masa ini, Seksyen 27 Akta Polis, sesiapa yang ingin mengadakan perarakan bergerak boleh memohon untuk mendapatkan permit daripada balai polis daerah. Tetapi menurut PA 2011, perarakan bergerak seperti ini diharamkan secara keseluruhan.

Selain itu, rang undang-undang ini juga memberi kuasa yang lebih besar kepada polis berbanding dengan Akta Polis. Menurut rang undang-undang ini, polis boleh menggunakan apa jua kuasa untuk menghentikan perarakan bergerak. Adakah ini bermaksud keganasan polis sepertimana digunakan semasa perarakan Bersih 2.0 akan dibenarkan dan dikatakan berpatutan?

Bukannya suatu rahsia apabila pihak polis sering dikaitkan dengan reputasi menggunakan kekerasan yang melampau apabila menangani perarakan dan sebarang tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh NGO dan parti politik yang bertentangan dengan kerajaan pusat. Maka, sebelum rang undang-undang ini diwarta dan diperkuatkuasakan, ERA Consumer Malaysia ingin menyeru agar pihak polis diberikan latihan untuk memudah cara dan mengawasi perarakan dan perhimpunan awam.

Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju. Namun, perkataan `maju’ ini tidak harus dihadkan dalam konteks ekonomi, pendapatan dan perkhidmatan sahaja. Ia harus diperluas dan dicernakan melalui perundangan. Sekatan-sekatan yang terdapat dalam PA 2011, tidak langsung mencerminkan undang-undang sebuah negara maju. Malah, ia memberi suatu imej seolah-olah rakyat Malaysia masih belum matang sehinggakan perlunya sebuah undang-undang seperti ini diwujudkan untuk menjaga ‘keamanan’ dan ‘ketenteraman’.

ERA Consumer Malaysia juga percaya dan berpendapat bahawa undang-undang ini tidak wajar diperkuatkuasakan, sebaliknya  rakyat Malaysia dan pihak berkuasa harus dididik dengan etika melakukan perarakan secara aman. Kami percaya bahawa pendidikan dapat membentuk minda dan tingkah laku seseorang manusia yang merdeka.

Ravin Karunanidhi
ERA Consumer Malaysia