Pengguna Malaysia dikejutkan dengan berita tentang aduan seorang pengguna yang mendakwa telur yang dibeli di Pasar Pulau Tikus, Pulau Pinang adalah telur tiruan. Namun, hasil ujian Jabatan Kimia mendapati empat sampel telur ayam adalah tulen dan keputusan analisis mendapati kandungan protein sampel telur berkenaan adalah sama dengan telur ayam.
Kes masalah makanan dan keracunan makanan dilaporkan banyak berlaku di Tanah Besar China beberapa tahun yang lalu. Pada tahun 2001, terdapat 185 kes keracunan makanan yang menjejaskan sebanyak 15,715 orang dengan mengakibatkan 146 kematian. Kejadian ini bertambah dua kali ganda pada tahun 2002 dan pada 2003, bilangan kes yang dilaporkan adalah sepuluh kali ganda daripada tahun 2001.
Jumlah orang menderita ialah mencecah 29,660 orang termasuk 262 kematian dan pada September 2008 hampir 53,000 kanak-kanak China menderita akibat pencemaran susu bayi dengan 4 orang bayi meninggal dunia.
Seorang maut dan 42 orang mengalami keracunan nitrat di hotel barat daya China pada Oktober 2010 dan 200 pelajar sekolah mengalami sakit perut dan muntah akibat meminum susu sarapan pagi di sekolah pada April 2010. Kesimpulannya terlalu banyak kes keracunan dan makanan tiruan berlalu di negara China dengan mengakibatkan sejumlah besar rakyat mereka.
Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur. Menurut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.
Menurut artikel daripada Xiamen News, sekiranya telur tiruan ini dimakan dalam masa yang panjang boleh mengakibatkan kesan kecacatan otak. Justeru itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan telur tiruan. Sekiranya pengguna ragu-ragu dengan keasliannya sila hubungi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berhampiran tempat anda.
Berikut adalah tip untuk membezakan telur tiruan dengan telur asli:-
Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.
Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.
Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.
Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.
Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan adalah langkah yang seharusnya telah dimulakan dari dahulu lagi. Melalui sistem itu, telur yang dikeluarkan akan dicop dengan label ladang, gred telur dan tarikh ia dikeluarkan bagi menambah keyakinan pengguna terhadap telur tersebut.
Mengikut rekod, terdapat 390 ladang ayam penelur di negara ini dengan kapasiti sebanyak 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta sehari. Pada ketika ini, pengguna diharapkan dapat memanfaatkan maklumat dan label yang diwujudkan agar dapat membuat pilihan yang bijak.
Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia