Print
Category: Isu Makanan
Hits: 818

Melangkahkan kaki ke Medan Selera Jalan 223, Petaling Jaya terasa bagaikan seluruh suasana telah bertukar menjadi hitam putih. Seolah-olah seperti anda berada dalam TV dari filem tahun 50-an yang kemudahan-kemudahan yang ada usang dan terbatas.

Tetapi, pengunjung yang datang untuk makan tengah hari nampaknya tidak peduli dengan suasana ini dan terus duduk, makan dan berbual bersama-sama teman. Apa yang menariknya di medan selera ini, pelbagai gerai yang dibuka dengan bermacam-macam pilihan untuk pengunjung.

Di sini terdapat beberapa gerai makanan Cina, Melayu dan India yang menepati selera pengunjung. Harganya juga berpatutan. Lebih menggembirakan untuk dilihat apabila toleransi dan sikap tolong-menolong antara pengusaha gerai sangat baik. Kebanyakan pengunjung datang dari bangunan dan kolej berhampiran.

Sayangnya, persekitaran Medan Selera ini tidak dijaga dengan baik. Gerai-gerai yang berkarat dan hampir roboh, ditambah pula dengan bumbung yang sering menempiaskan air tatkala hujan. Ini menyebabkan pengusaha terpaksa menggunakan plastik-plastik untuk menutupi lauk-pauk dan kuih muih yang dijual. Paling menyedihkan adalah tandas di premis berkenaan yang boleh membuatkan anda jijik untuk berada berdekatan dengannya.

Apakah yang boleh pengusaha gerai-gerai di situ lakukan untuk menaik taraf keadaan di situ? Apakah pula yang pengunjung yang selalu datang di situ lakukan untuk mendapatkan makanan dan persekitaran yang bersih? Bukankah golongan-golongan ini berhak mendapatkan sesuatu yang baik? Adakah jawapannya ada pada Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau kerajaan negeri Selangor? Saya masih tertanya-tanya jawapannya.

 


Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia