KUALA LUMPUR: Cadangan Bank Negara (BNM) memperkenalkan klausa khas dalam pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) perlu dipantau dengan rapi bagi memastikan pelarasan harga yang akan dilaksanakan tidak membebankan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan, berkata cadangan itu pada asasnya perlu disambut baik, kerana ia menyentuh isu utama yang sering dihadapi pengguna iaitu penolakan tuntutan atas alasan penyakit sedia ada.
Bagaimanapun katanya, keberkesanan cadangan itu bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan.
"Tempoh perlindungan berterusan yang ditetapkan perlu munasabah dan tidak terlalu panjang sehingga manfaatnya menjadi terhad.
"Jika tempoh itu terlalu lama, pengguna mungkin terdedah kepada risiko penolakan tuntutan dalam tempoh kritikal awal.
"Dalam masa yang sama, terdapat kebimbangan industri mungkin akan memindahkan risiko ini kepada pengguna melalui peningkatan premium. Oleh itu, adalah penting supaya sebarang pelarasan harga dikawal dan tidak membebankan, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada BH, semalam.
Kelmarin, BH melaporkan satu perkembangan yang amat melegakan pengguna perkhidmatan kesihatan bakal direalisasikan apabila BNM mempertimbangkan satu klausa khas untuk pelan MHIT Asas.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, dilaporkan berkata, pihak berkuasa sedang merangka pengenalan mekanisme no look-back bagi melindungi hak pengguna.
Melalui klausa berkenaan, katanya, selepas satu tempoh perlindungan berterusan dipersetujui, syarikat insurans dan pengendali takaful tidak lagi dibenarkan menolak tuntutan pesakit atas alasan penyakit sedia ada.
Saravanan berkata, dalam kebanyakan kes, pengguna hanya menyedari kewujudan sesuatu penyakit selepas mengambil perlindungan, atau tidak memahami sepenuhnya keperluan pendedahan ketika proses pembelian polisi.
Tekanan kewangan
Oleh itu, katanya apabila tuntutan ditolak, ia bukan saja memberi tekanan kewangan, tetapi juga menjejaskan kepercayaan terhadap keseluruhan sistem insurans dan takaful.
"Dengan adanya klausa ini, selepas satu tempoh perlindungan berterusan yang dipersetujui, syarikat insurans dan pengendali takaful tidak lagi boleh menggunakan alasan penyakit sedia ada untuk menolak tuntutan.
"Ini memberi jaminan yang lebih jelas kepada pengguna, bahawa perlindungan yang mereka bayar benar-benar berfungsi apabila diperlukan.
"Dari perspektif kepenggunaan, ini adalah satu pembaharuan penting kerana ia mengurangkan ketidakseimbangan maklumat antara syarikat dan pengguna, serta mengelakkan situasi yang mana pengguna hanya menyedari had perlindungan apabila sudah terlambat," katanya.
Katanya, aspek ketelusan dalam melaksanakan cadangan itu perlu diberi perhatian serius.
"Ramai pengguna masih berdepan kesukaran memahami terma dan syarat polisi yang kompleks.
"Jika klausa ini diperkenalkan tetapi tidak disampaikan dengan jelas, ia boleh menimbulkan salah faham baharu.
"Justeru, maklumat perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami, dan pengguna harus diberi penerangan yang mencukupi sebelum membuat keputusan," katanya.