Mac 17, 2023 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna boleh mengemukakan tuntutan terhadap agensi kerajaan sekiranya berlaku kemalangan disebabkan keadaan jalan Persekutuan yang rosak atau berlubang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia berikutan kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan diberikan kepada syarikat konsesi untuk dilaksanakan mengikut perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.

"Dengan ini pengguna yang terlibat (dalam kemalangan) boleh mengemukakan tuntutan ganti rugi serta memfailkan saman di mahkamah terhadap syarikat konsesi atau kerajaan Malaysia," katanya di Kamar Khas Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan V Ganabatirau (PH-Klang) sama ada pengguna yang terlibat dalam kemalangan disebabkan kerosakan jalan raya boleh membuat tuntutan kepada kerajaan memandangkan kebanyakan jalan di Klang berada dalam keadaan 'uzur'.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, mengikut perjanjian konsesi, syarikat konsesi berkenaan mempunyai obligasi untuk menanggung kerugian.

Namun, beliau menjelaskan, beban pembuktian adalah terletak kepada pengguna dengan membuktikan kemalangan tersebut adalah berpunca daripada masalah kerosakan jalan raya dan bukannya akibat kecuaian pemanduan mangsa atau pengguna jalan raya yang lain.

"Untuk apa-apa tuntutan akibat daripada kemalangan seperti kerosakan atau kecederaan yang dialami pengguna disebabkan kerja-kerja konsesi tersebut, pengguna perlu mengemukakan bukti bahawa kemalangan itu adalah berpunca daripada masalah kerosakan," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan isu berkenaan ditangani dengan kerjasama pihak lain.

"Usaha sama dengan pihak Kementerian Pengangkutan perlu diadakan bagi menangani permasalahan bebanan kenderaan dan peningkatan trafik kenderaan yang melalui jalan, terutamanya di kawasan Pelabuhan Klang.

"Ia juga perlu dilakukan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi memastikan keperluan peruntukan disalurkan bagi menyelesaikan peruntukan jalan di kawasan itu," ujarnya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jalan-persekutuan-rosak-pengguna-boleh-kemuka-tuntutan-jika-terlibat-kemalangan-abdul-rahman-411231