Pertambahan jumlah penduduk dan kepesatan pembangunan dalam sektor industri telah mendorong kepada permintaan bekalan air yang tinggi. Faktor ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kerana sumber air yang terhad tanpa disedari. Secara keseluruhannya, sumber air di dunia yang boleh digunakan untuk kegunaan harian adalah 0.3 peratus sahaja daripada keseluruhan sumber air yang terdapat di dunia ini, yang terdiri daripada tiga sumber, iaitu air sungai, paya dan tasik.

Dalam kesukaran untuk mendapatkan sumber air mentah, timbul pula masalah pencemaran air yang semakin meningkat. Sungai dan tasik telah dijadikan tempat pembuangan bahan toksik dan sampah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini memberi impak kepada sungai dan tasik, yang menyebabkan jumlah kandungan oksigen (O2) di dalam air semakin berkurangan, yang kemudiannya telah menjejaskan hidupan air serta merendahkan kualiti air mentah.

Kebergantungan kepada sumber air mentah sebanyak 97 peratus bagi menghasilkan air terawat, telah menyebabkan pencemaran yang berlaku ini menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan. Jika pencemaran ini terus berlarutan, maka masalah kekurangan kekurangan sumber air mentah akan berlaku. Selain itu, ekosistem juga akan terganggu dan lebih malang lagi kesihatan serta punca pencarian bagi manusia yang bergantung kepada sumber air akan turut terancam.

Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
24 Mei 2010