Rata-rata masyarakat mengetahui tentang peranan saluran pembentungan untuk mengalirkan air sisa kumbahan ke dalam loji rawatan. Walaupun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat sisa-sisa yang dibuang oleh mereka yang tidak boleh diuraikan, yang menyebabkan gangguan dalam memproses air sisa di loji rawatan.

Sisa-sisa yang tidak boleh diuraikan, seperti bahan plastik atau serpihan kayu-kayu kecil yang masuk ke dalam sistem kumbahan, mengganggu kelancaran untuk memproses air sisa serta memendekkan jangka hayat peralatan di loji rawatan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos pembaikan peralatan apabila berlakunya kerosakan.


Meskipun begitu, masih terdapat kaedah yang lain yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kenaikan kos pembaikan peralatan di loji rawatan air sisa. Ini seterusnya akan meningkatkan mutu perkhidmatan pembentungan.

Pertama, pengguna perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka tidak boleh membuang bahan-bahan seperti plastik atau kayu ke dalam saluran pembentungan. Kedua, pengguna hendaklah menjalankan tanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan terhadap sistem pembentungan persendirian, dan yang terakhir, pengguna mesti membuat pembayaran caj perkhidmatan pembentungan secara berterusan sepertimana yang tercatat di bawah Seksyen 62 (2), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Dengan kerjasama daripada semua pihak, terutama pengguna dan pembekal perkhidmatan pembentungan, yang menjalankan tanggungjawab masing-masing, maka mutu perkhidmatan pembentungan di negara kita dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.

Syarina Bte Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
18 Mei 2010