Air yang bersih dapat memastikan aktiviti seharian dijalankan dengan sempurna. Namun begitu, pengguna sering diselubungi dengan pelbagai masalah bekalan air seperti kualiti yang kurang memuaskan dan kebocoran yang sering berlaku.

Cik Syarina Mohd Yusof, Pengurus Forum Air Malaysia berkata, “Pengguna perlu faham bahawa air yang dibekalkan ke rumah-rumah telah diuji terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini bagi memastikan ia telah mencapai standard yang ditetapkan.”


Walau bagaimanapun, terdapat banyak faktor yang menyebabkan kualiti air yang dibekalkan di rumah terjejas. Antaranya disebabkan oleh sistem perpaipan dalaman di rumah seperti telah berkarat kerana besi paip bergalvani yang telah lama usianya. Kealpaan dalam melakukan penyelenggaraan tangki secara berkala juga salah satu daripada penyebab kepada masalah kualiti air yang kurang ini. Sistem perpaipan dalaman yang dimaksudkan adalah sistem perpaipan selepas meter air. Ia merupakan tanggungjawab pemilik premis untuk menyelenggarakannya.” jelas Syarina.

Syarina menambah, ”Sekiranya berlaku kebocoran air pula sebelum meter air, ia merupakan tanggungjawab syarikat pembekal air untuk membaikinya. Manakala pengguna perlu menanggung kos pembaikan jika kebocoran berlaku selepas meter air. Justeru, pengguna dinasihatkan supaya melakukan pemantauan sendiri terhadap sistem perpaipan dalaman rumah mereka.”

”Sebagai pengguna”, nasihat Syarina, ”kita perlu mengetahui peranan atau tanggungjawab yang perlu dilakukan terhadap sistem perpaipan dalaman untuk memastikan bekalan air yang diperoleh adalah berterusan, selamat dan juga berkualiti.”

Syarina Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
7 April 2010