Laporan Pembangunan Manusia bagi tahun 2007/2008 menyatakan bahawa Malaysia mempunyai syer sebanyak 0.6% dalam jumlah pelepasan gas karbon dioksida (CO2) dunia pada 2004. Jumlah pelepasan CO2 pada 1990 adalah 55 juta tan, manakala pada tahun 2004 pula sebanyak 177 juta tan pada 2004. Berlaku peningkatan sebanyak 221% dalam tempoh tersebut.

Piarapakaran S., Setiausaha Agung Persatuan Penguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) berkata “Berdasarkan kepada laporan Agensi Tenaga Antarabangsa pula, peningkatan pelepasan CO2 dari 1990 hingga 2001 adalah 143.4 peratus.

 

Jumlah ini kelihatan jauh lebih kecil berbanding Laporan Pembangunan Manusia. Namur begitu, jumlah penduduk yang bertambah merupakan faktor utama yang mempengaruhi perubahan ini kerana pelepasan per kapita dipengaruhi oleh jumlah penduduk.”

Peningkatan projek-projek pembangunan turut meningkatkan pembebasan CO2 negara. Bagaimana untuk menggalakkan industri mengurangkan pembebasan CO2?

Ujar beliau, “Pemberian insentif ekonomi oleh kerajaan kepada industri-industri merupakan langkah yang boleh dipertimbangkan. Ini membolehkan industri-industri ini melabur dalam teknologi yang dapat mengurangkan pembebasan CO2.”

Tambah beliau lagi, “Industri-industri di Malaysia masih jauh ketinggalan dalam Penilaian Kitar Hayat atau di kenali sebagai Life Cycle Assessment (LCA) yang membantu mengurangkan kesan kepada alam sekitar. LCA dijalankan kepada keseluruhan pihak-pihak yang terlibat, iaitu daripada pembekal-pembekal bahan mentah, industri-industri pemprosesan dan pembuatan serta pengguna. Ini membantu semua pihak memainkan peranan dalam mengurangkan impak kepada alam sekitar.”

Beliau berkata, “Pelabelan barangan mesra alam, dan pengiktirafan terhadap industri-industri yang bersungguh-sungguh dalam mengurangkan pelepasan gas CO2 akan mengorak langkah ke arah ekonomi yang sihat. Masa sudahpun tiba kepada industri-industri di Malaysia untuk beralih kepada “Pembuatan Hijau (Green Production)”. Sekiranya industri-industri ini ingin memasuki pasaran eksport, LCA akan membantu mereka untuk memasuki pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan telahpun menjalankan LCA dan merupakan pakar dalam bidang ini.”

Beliau juga menasihatkan pengguna domestik. Menurut beliau, “Pengguna domestik juga menjadi penyebab kepada pencemaran udara dan pelepasan CO2 yang tinggi. Walaupun kita mengunakan bahan api alternative, namun ia masih membebaskan CO2. Jika sistem jalan raya tidak diperbaiki, negara kita akan mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang lebih teruk pada masa hadapan. Ini akan membazirkan bahan api serta meningkatkan pembebasan CO2. Oleh itu pengangkutan awam serta infrastrukturnya juga patut dibangunkan untuk mengurangkan pelepasan CO2.”

“Kerjasama daripada semua pihak adalah penting dalam menyelesaikan isu ini,” tambah beliau lagi

Piarapakaran Subramaniam
Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WECAM)