Biasanya, kita menganggap pencemaran udara sebagai sebuah entiti berasingan daripada pencemaran air. Walau bagaimanapun, sesetengah bahan pencemar udara boleh berakhir di dalam sumber-sumber air seperti sungai dan tasik yang akhirnya boleh membawa kepada pencemaran air minuman.

Bukan sahaja pencemar – pencemar tersebut boleh menjejaskan sumber-sumber air berhampiran, malah mereka juga boleh dibawa oleh angin, awan dan hujan sekali gus mencemarkan sumber air di kawasan-kawasan yang jauh dari kawasan sumber. Lebih merunsingkan adalah apabila udara yang tercemar itu tersebar ke seluruh dunia lalu mengakibatkan pencemaran air di persekitaran yang bersih.

Pencemaran udara boleh berasal daripada sumber antropogenik mahupun semula jadi. Contoh sumber antropogenik adalah pembakaran bahan api fosil, pelepasan bahan kimia perindustrian dan pertanian dan pembakaran sisa pepejal. Kebakaran hutan dan aktiviti gunung berapi adalah contoh proses semulajadi yang menyumbang kepada pencemaran udara. Bahan-bahan pencemar udara utama yang juga membawa kepada pencemaran air adalah NOX, SOX, dan logam berat seperti merkuri.

Terdapat beberapa cara untuk bahan –bahan pencemar udara tersebut memasuki sumber-sumber air. Diantaranya adalah pemendapan langsung bahan-bahan pencemar udara ke dalam sumber-sumber air. Ini boleh berlaku apabila bahan pencemar udara tersebut jatuh ke permukaan air melalui air hujan, habuk ataupun tarikan graviti. Cara lain adalah apabila tanah yang tercemar dengan bahan pencemar udara tersebut dihanyutkan ke dalam sumber-sumber air. Antara kesan-kesan buruk daripada pencemaran udara apabila mereka turut mencemari air adalah pertumbuhan alga yang tidak terkawal, ikan yang tercemar dan air minuman yang tidak selamat untuk diminum.

Mathini Arveena Ravee
Forum Air Malaysia