Air adalah satu hak asasi bagi setiap manusia. Menyediakan bekalan air adalah satu tanggungjawab, dan bukannya untuk kepentingan peribadi dan politik. Merancang dan menyediakan bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan adalah satu tanggungjawab bagi kerajaan bagi memastikan kehidupan masyarakat yang sempurna.

Pelaksanaan dan implementasi dasar yang telus dan jelas merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap pihak yang berkenaan. Namun tidak dapat dinafikan, selain daripada pihak berkuasa kerajaan, peranan pihak-pihak lain seperti kerajaan negeri, industri, ahli akademik, para penyelidik, badan bukan kerajaan, media dan pengguna sendiri harus memberi kerjasama dan memainkan peranan mereka agar perancangan dan pelaksanaan dapat dijalankan dengan lancar dan berterusan.

Walaupun Malaysia telah mencapai tahap menikmati bekalan air asasyang baik, namun begitu fokus harus diberikan juga kepada kumpulan atau individu terpinggir di seluruh Malaysia untuk memastikan setiap orang mendapat bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan. Terdapat masyarakat kampung, seperti perkampungan Orang Asli yang terletak di kawasan terpencil tidak mendapati bekalan air yang sempurna.



Jika terdapat bekalan air disalurkan sekalipun, ia hanyalah untuk jangka masa sementara kerana ada di antara projek-projek yang dijalankan tiada pemantauan dan penyelenggaraan berterusan yang mengakibatkan projek-projek tersebut mengalami kerosakan.

Lebih mendukacitakan, aktiviti penerokaan tanah yang tidak terkawal melalui aktiviti pembalakan atau pembukaan tanah untuk perladangan, bukan sahaja telah menjejaskan sumber air minuman kepada masyarakat setempat, lebih-lebih lagi perkampungan orang asli, ia juga telah mengakibatkan khazanah alam musnah. Bukan itu sahaja, perigi yang menjadi satu-satunya sumber air minum yang dikongsi oleh beberapa perkampungan orang asli ini juga telah diambil alih, seperti yang berlaku di Gua Musang, Kelantan. Aktiviti pembalakan dan meratakan tanah ini juga tidak diketahui sama ada sudah menerima kelulusan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) atau tidak.

Aktiviti pembalakan ini merupakan salah satu punca pencemaran sungai. Merujuk kepada laporan kualiti air sungai pada tahun 2008, dari jumlah keseluruhan stesyen pemeriksaan sungai menunjukkan 38% mengalami sedikit pencemaran dan 4% lagi telah mengalami pencemaran kritikal. Pada tahun 2011 pula, 32.3% mengalami sedikit pencemaran dan pencemaran kritikal meningkat kepada 8.4%. Pada tahun 2012, banyak laporan yang disiarkan mengenai aktiviti penerokaan dan pembalakan ini contohnya di Lojing dan Gua Musang di Kelantan, Hutan Simpan Jeniang, Pedu dan Gunung Inas di Kedah, Cameron Highland di Pahang. Banyak lagi aktiviti ini yang sedang berjalan dan menyumbang kepada peningkatan pencemaran sumber air ini. Dengan pencemaran sebegini, bagaimana dengan nasib penduduk orang asli terhadap akses air minum yang bersih, selamat dan terjamin? 

Tidak dinafikan banyak yang telah dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan dalam kepada orang asli, seperti rumah pam dan sistem tuaian air hujan. Namun begitu, ada di antara projek tersebut hanya bertahan untuk beberapa tahun sahaja, bukan kerana tiada sumber air untuk diekstrak tetapi akibat tiada penyelenggaraan dan akhirnya ia ditutup. Penduduk orang asli ini terpaksa kembali kepada keadaan sedia kala. Mereka juga berdepan dengan risiko penyakit apabila terpaksa menggunakan air keruh bagi keperluan harian seperti  minum, masak dan mandi kerana tidak mempunyai pilihan lain. Pembalakan menyebabkan kekeruhan air sungai yang teruk, antara kadar kekeruhan sungai yang tinggi pernah dicatatkan adalah dengan 28,333 NTU, sedangkan kadar kekeruhan selamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah di bawah 1,000 NTU dan ukuran bagi air bersih pula jumlah kekeruhan serta pepejal terampai mesti di bawah 50 NTU.

Orang Asli bukannya tidak mahukan pembangunan, tetapi bekalan air bersih, selamat dan berterusan haruslah selari dengan pembangunan yang dijalankan.  Banyak surat serta aduan telah dihantar kepada pihak berkuasa, namun sukar untuk mendapat kerjasama dan maklum balas. Jika ada yang memberi maklum balas, proses penyelesaian yang diambil amat panjang. Kesukaran untuk mendapatkan pihak yang benar-benar bertanggungjawab mengenai isu ini juga merupakan satu halangan dalam mendapatkan penyelesaian yang kadangkala memakan masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

Sempena sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, dan telah disambut sejak tahun 1993 lagi, ia adalah sebagai satu cara untuk menumpukan perhatian semua pihak seperti pihak kerajaan, kerajaan negeri, syarikat air, badan bukan kerajaan dan orang ramai mengenai kepentingan air mentah, pengurusan air mentah yang mampan dan juga hak asasi manusia dalam akses kepada sumber air bersih, selamat dan berterusan. Hanya melalui kerjasama semua pihak, kejayaan pengurusan sumber air pada masa hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih bijak dan memastikan manfaat untuk semua. Walaupun hak tanah dan kehilangan hutan tidak mudah untuk diselesaikan, namun isu bekalan air bersih kepada penduduk orang asli ini perlulah diambil secara serius dan diselesaikan segera agar penduduk orang asli tidak dilucutkan haknya dalam mendapatkan hak asasi mereka.

Nuraini Khalil
Forum Air Malaysia