Kebolehcapaian kepada air yang selamat dan sistem sanitasi yang lengkap merupakan salah satu hak asasi manusia sebagaimana yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun, agak mengecewakan kerana Belanjawan 2012 tidak menyediakan peruntukan terhadap masalah bekalan air yang telah lama berlaku di negara ini. 

Belanjawan 2012 telah memperuntukkan sebanyak hampir RM500 juta untukkerja-kerja menaik taraf infrastruktur air. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya tertumpu kepada Sabah, kawasan Felda dan estet.

Terdapat negeri, seperti Kelantan, yang telah lama menghadapi isu penurunan kualiti air sejak berdekad dahulu, telah meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak melayani permintaan tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.

Baru-baru ini, Indah Water Konsortium (IWK) telah menjadi tumpuan semula selepas hampir 11 tahun syarikat ini dimiliki oleh kerajaan. Melalui kertas kerja yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Berhad dan Puncak Niaga Sdn Bhd, kemungkinan akan berlakunya penswastaan terhadap IWK.

Walau bagaimanapun, kurang peruntukan yang diberikan kepada sektor pembetungan, yang  memerlukan kerja-kerja penaiktarafan bagi memastikan sistem sanitasi yang lengkap dan selamat.   

Dalam usaha negara ke arah  sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan pelbagai projek pembangunan yang berskala besar telah dirancangkan,  walaupun dalam keadaan dunia menghadapi krisis kewangan. Pembangunan-pembangunan tersebut telah dirancang dalam belanjawan tersebut, tetapi tidak terdapat peruntukan-peruntukan yang boleh memastikan bahawa permintaan air semasa dan keperluan masa hadapan untuk penduduk setempat, selepas projek-projek pembangunan ini siap. Di samping itu, 12 buah empangan besar bakal dibina untuk menjana kuasa hidroelektrik bagi memenuhi permintaan pembangunan industri, yang akan membinasakan ekosistem setempat, tanpa menghiraukan keperluan asas kepada penduduk setempat. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. 

Sebagai negara yang mempunyai pengguna air yang terbanyak di rantau ini, pendidikan pengguna dan pemuliharaan sumber air adalah sangat penting. Namun, dalam Belanjawan 2012, tiada peruntukan yang disalurkan untuk tujuan tersebut. Selain itu, belanjawan tersebut juga tidak meliputi isu-isu seperti pelan pengawalan pencemaran kepada sumber air seperti tasik, sungai dan air bawah tanah. Air tidak terhasil dalam negara juga masih tinggi, yang menyebabkan  kerugian bukan sahaja kepada syarikat pembekalan air dan juga kepada pengguna. Satu peruntukan yang khusus untuk mengatasi masalah itu mesti disediakan.   

Malaysia dikurniakan dengan air hujan dan sumber-sumber air yang berlebihan. Namun, sekiranya ia tidak mengurus dengan telus dan baik, kurniaan ini akan hilang pada masa yang akan datang. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia