Cuaca yang panas pada sebelah petang dan hujan ribut menjelang malam telah berlarutan semenjak minggu lalu. Selain itu, suhu tertinggi iaitu 36.4°C turut dicatatkan pada bulan April yang lalu.

Suhu purata di Malaysia adalah 32-34°C dan catatan tertinggi tersebut telah meningkat sebanyak 2°C. Jabatan Meterologi Malaysia melaporkan bahawa corak cuaca ini telah dijangka dan diramalkan akan berlaku semasa pertukaran musim monson dan berkemungkinan berlarutan hingga bulan Mei.

Saw Bun Liong, Pengurus Ramalan di Jabatan Meterologi Malaysia, mengatakan bahawa pantai barat di Semenanjung Malaysia akan mengalami cuaca cerah pada pagi hingga petang dan hujan lebat akan berlaku menjelang lewat petang.

“Biasanya semasa hujan lebat, petir dan angin kuat turut berlaku.” Menurut beliau lagi, banjir kilat juga mungkin akan berlaku di kawasan yang rendah dan bandar-bandar yang mempunyai sistem perparitan yang tidak sempurna. 

Menurut laman sesawang Jabatan Meterologi, bagi bulan Mac, hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia akan menerima hujan sebanyak 200% hingga 300% di atas paras purata.

Laporan tersebut juga mengatakan bahawa Malaysia sedang mengalami kesan perubahan iklim, iaitu bulan Mac bagi tahun-tahun yang lalu sepatutnya musim kering. Tetapi, bagi bulan Mac yang lepas, jumlah hujan yang meningkat telah menyebabkan banjir di Perlis, Terengganu, Kedah dan Perak.

Orang ramai dinasihatkan untuk membawa payung semasa keluar dari rumah dan menutup peralatan  elektrik yang tidak digunakan di rumah bagi mengelakkan kerosakan peralatan elektrik disebabkan oleh petir.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia