Kita perlu menyedari bahawa air bukannya sesuatu sumber yang sentiasa ada secara berterusan dan percuma. Peningkatan pencemaran di sumber air, pembangunan tanah yang tidak dipantau dan pembangunan bandar yang pesat telah menyebabkan air yang bersih dan selamat semakin berkurangan.

Hari Air Sedunia adalah satu acara tahunan yang berlangsung di seluruh dunia pada setiap 22 Mac. Sambutan Hari Air Sedunia kali pertama diadakan pada tahun 1993. Setiap tahun sambutan Hari Air Sedunia mengutarakan satu tema yang khusus untuk air. Pada tahun ini, temanya tertumpu kepada air dan bandar. 

Kepentingan air di bandar bukanlah sesuatu yang baru. Ketamadunan manusia semejak dahulu di kawasan yang terletak di sungai-sungai dan tasik-tasik yang termasyhur seperti Mesir, Khmer dan juga Lembah Indus telah berkembang dan musnah.

Sehingga kini, bandar-bandar besar di dunia masih bergantung kepada sungai dan tasik sebagai sumber bekalan air, pengangkutan, pertanian, penjanaan kuasa dan pencegahan banjir. Sejarah telah banyak mengajar bahawa pengurusan air dan sumber semula jadi yang tidak terurus akan menyebabkan keruntuhan tamadun seperti yang berlaku di Angkor, yang sekarang dikenali sebagai Kemboja. Bah kata ‘Sesiapa yang lupa sejarah, ia akan berulang lagi.’

Perubahan iklim buatan manusia juga sedang mengancam sungai-sungai di Malaysia. Aliran sungai telah bertukar disebabkan oleh corak cuaca yang tidak menentu seperti musim kemarau yang berpanjangan, hujan yang sekejap tetapi lebat, banjir dan pengaliran sisa-sisa ke sungai yang melampau.

Mengikut ramalan Dana Kependudukan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terdapat seramai 8 bilion orang akan menetap di dunia, dan 5 bilion orang daripada jumlah tersebut akan tinggal di bandar. Kebanyakannya tinggal di kawasan benua Asia, Afrika dan sesetengah kawasan yang paling miskin di benua-benua tersebut.

Malaysia juga sedang mengalami pembangunan bandar yang pesat dan pertumbuhan penduduk. Salah satu infrastruktur untuk menampung penetapan manusia yang berkembang dan bersemangat dari segi ekonomi merupakan air dan sanitasi. Namun, sektor air dan pembetungan di Malaysia sedang mengalami kerumitan untuk membangunkan sumber dan sistem yang betul dengan cepat dan mencukupi. Kerap kali, dasar berkaitan air dan pembetungan yang dirangka oleh kerajaan sering ketinggalan di belakang pembangunan bandar yang pesat. 

Jabatan Alam Sekitar banyak melaporkan keadaan lembangan sungai di Malaysia. Industri pembetungan dan pembuatan merupakan pencemar utama kepada sungai dan sumber air. 98% daripada bekalan air tawar berasal daripada permukaan air seperti sungai dan tasik. Perubahan dari segi iklim juga telah meningkatkan cabaran-cabaran untuk membangunkan sistem infrastruktur di Malaysia.

Banjir yang serius telah memutuskan bekalan elektrik ke loji rawatan air dan bekalan air kepada berjuta-juta pengguna. Besar kemungkinan, banjir akan melanda negara pada masa hadapan, sepertimana yang yang berlaku di Johor seperti pada tahun 2006 dan 2010. Musim kemarau yang berpanjangan juga memberikan kesan yang besar kepada bekalan air pengguna, iaitu kandungan aluminium yang tinggi telah dikesan dalam air minuman.
Rakyat Malaysia terus menjadi pengguna air dalam sehari yang tertinggi di rantau ini. Pada masa kini, purata penggunaan air untuk seorang sehari adalah 226 liter, berbanding dengan Singapura iaitu 160 liter.

Aduan yang diajukan oleh pengguna-pengguna terutamanya yang tinggal di bandar-bandar, tertumpu kepada masalah-masalah seperti tekanan air rendah dan gangguan air yang tidak terancang. Air terawat yang berwarna juga merupakan salah satu aduan yang perlu diberi tumpuan.
Kelantan masih kekurangan dalam industri air, iaitu hanya 55.7 peratus pemduduknya yang menerima air terawat. Kota Bahru merupakan salah satu bandar di pantai timur yang sedang berkembang pesat. Tanpa perkhidmatan air dan pembetungan yang lengkap, bandar-bandar tersebut bakal menghadapi masalah kesihatan dan masalah tersebut akan meningkat.

Rakyat Malaysia menjana hampir enam juta ton sisa-sisa kumbahan setiap tahun, yang kebanyakannya dirawat dan dilepaskan ke dalam sungai. Pada tahun 2009, 55% daripada Semenanjung Malaysia dan Labuan disambungkan kepada perkhidmatan pembetungan awam, 18.9% adalah tangki septik individu, manakala 16.2% pula dengan sistem ‘pour flush’.

Masalah bil pembetungan merupakan salah satu aduan utama daripada orang awam. Industri pembetungan merupakan satu lagi industri infrastruktur yang besar. Menurut Pelan Pembangunan Pembetungan Negara, satu CAPEX sebanyak RM33 bilion diperlukan dalam tempoh 30 tahun akan datang untuk menaik taraf dan membina satu sistem baru untuk pembetungan.

Satu lagi isu yang berkaitan sektor air adalah kadar air tidak terhasil yang tidak konsisten di negeri-negeri seluruh negara. Pada tahun 2009, negeri-negeri yang mempunyai kadar air tidak terhasil yang tertinggi adalah Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Semua negeri ini mempunyai kadar air tidak terhasil sebanyak 35%, manakala Pahang sendiri pada kadar 59.9%. Kadar purata dalam negara adalah pada 36%, berbanding dengan 18% yang merupakan catatan paling rendah.

FORUM AIR MALAYSIA percaya bahawa sektor air dan pembetungan akan mengalami kesan yang tidak menentu disebabkan oleh perubahan iklim. Ia juga menyebabkan jumlah kerugian yang tinggi. Banjir besar di Johor telah menyebabkan kerugian sebanyak RM1.5 bilion. Kos untuk membaiki dan membina semula sektor air masih belum diperolehi. Bagaimana pula dengan jumlah kerugian akibat kejadian banjir pada 2010? Untuk mengatasi masalah air di negeri-negeri tersebut, bantuan perlu disalurkan daripada negeri-negeri lain.

Kemudahcapaian terhadap bekalan air yang bersih dan selamat dan sistem pembetungan yang terurus adalah penting kepada pembangunan ekonomi. Perubahan iklim, air dan tenaga merupakan isu yang saling berkaitan. Banyak usaha diperlukan melalui usaha bersepadu antara agensi kerajaan.

Semua ini memerlukan penyertaan semua pihak yang berkepentingan seperti pengguna. Pengguna boleh menjadi jalan penyelesaian kepada penggunaan sumber asli yang tidak lestari ini. Pendidikan pengguna tidak boleh diabaikan jika negara ingin mencapai pembangunan lestari.

Sumber yang mencukupi perlu dikumpul bagi jangka masa yang panjang untuk memastikan pengguna mengubah corak kehidupan seharian mereka untuk menyokong matlamat pembangunan lestari. Sektor industri dan agensi kerajaan perlu bersikap lebih telus, dedikasi dan beretika dalam proses membuat keputusan, perlaksanaan dan penetapan tarif. Langkah-langkah yang diambil itu perlulah dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna, pelaksanaan projek dan tahap kesediaan pengguna untuk membayar untuk bil tersebut.

Kesimpulannya, pengurusan air di bandar yang terurus, bermaksud akan melibatkan lebih banyak penggunaan teknologi perawatan air, meningkatkan guna semula air dan pembetungan serta meningkatkan pengurusan permintaan.

Dato’ Indrani Thurasingham
Presiden, Forum Air Malaysia