Selepas 20 tahun pembinaannya, akhirnya Empangan Bakun telah siap dan bersedia untuk membekalkan sebanyak 2,400MV tenaga elektrik di Sarawak. Empangan Bakun akan menjadi empangan konkrit campuran batuan yang tertinggi di dunia, tasik buatan manusia terbesar di Malaysia dan juga empangan terbesar di Malaysia. Bayangkan keadaan sebuah tasik yang sama besar saiznya dengan negara Singapura.

Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima sebanyak 1,600MV daripada jumlah tenaga elektrik yang dihasilkan oleh Empangan Bakun dengan pembinaan kabel dasar laut yang menghubungkan Kuching dan Johor. Kos pembinaan empangan ini telah mencecah RM7.3 bilion, yang kos asalnya ialah RM3 bilion hingga 4 bilion. Lebih-lebih lagi, kabel dasar laut yang bakal dibina memerlukan kos sebanyak RM10 bilion.

Walau bagaimanapun, usaha dan rancangan untuk membina kabel dasar laut tersebut telah dibatalkan disebabkan oleh penarikan diri beberapa syarikat besar yang melabur dalam projek ini. Antaranya ialah Sime Darby. Oleh itu, semua tenaga yang dihasilkan oleh Empangan Bakun kini kepunyaan Sarawak dan Sabah. Hakikatnya, situasi ini menyebabkan Sarawak mempunyai simpanan tenaga yang berlebihan, manakala Semenanjung Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga. Bagi menggantikan 1,600MW tenaga yang sepatutnya dibekalkan oleh Empangan Bakun, kerajaan kini perlu menaik taraf stesen-stesen janakuasa arang batu yang terdapat di Semenanjung Malaysia ataupun memulakan projek penjanaan kuasa nuklear.

Projek penjanaan kuasa nuklear yang dicadangkan oleh kerajaan pada bulan Mei yang lepas tidak sewajarnya dilaksanakan.

Kos untuk membina stesen janakuasa nuklear, perlombongan dan pengangkutan uranium, pengurusan sisa-sisa nuklear dan akhirnya penutupan stesen janakuasa nuklear adalah jauh lebih tinggi dan kompleks berbanding dengan jenis-jenis stesen janakuasa yang sedia ada. Mengikut Agensi Tenaga Atom Dunia (International Atomic Energy Agency, IAEA), sesebuah stesen janakuasa nuklear hanya mempunyai jangka hidup selama 30 hingga 40 tahun.

Masih banyak lagi jalan penyelesaian yang boleh diambil selain daripada tenaga nuklear. Bajet untuk membina stesen janakuasa nuklear adalah sebanyak USD$3 bilion hingga 4 bilion. Itu tidak termasuk kos penyelenggaraannya. Mengapa tidak menggunakan bajet ini untuk membina kabel dasar laut yang menghubungkan Kuching dan Johor untuk memperoleh tenaga daripada Empangan Bakun?

Dengan penaikan taraf yang dilakukan terhadap stesen janakuasa arang batu di Semenanjung Malaysia, sudah pasti ia tidak dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 40% seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lalu di Copenhagen kerana stesen janakuasa arang batu melepaskan kandungan gas rumah hijau yang paling tinggi jika berbanding dengan jenis stesen janakuasa yang lain.

Kekurangan dalam Projek Empangan Bakun menunjukkan kekurangan pandangan jauh dan kecekapan di antara pihak-pihak berkepentingan untuk mengurus permintaan tenaga dan produktiviti.

Jika Malaysia yang merupakan pusat kepada beberapa syarikat-syarikat pengilang solar panel terbesar di dunia, mengapa tidak dibangunkan sektor tenaga solar untuk negara kita. Semua sumber dan peralatan yang diperlukan untuk pembangunan tenaga solar boleh didapati dalam negara kita sendiri!


Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Standards Malaysia