Krisis air bakal berlaku di Lembah Klang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang tahun 2014 sekiranya pelaksanaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor ditangguhkan. Kenyataan ini berdasarkan kepada paras bekalan air Selangor yang tidak stabil di samping penggunaan air yang tidak berhemat olah masyarakat serta pencemaran sumber air yang semakin serius.

Projek ini melibatkan dua fasa utama iaitu pertama, pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor, serta kedua, pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat. Fasa 1 berjalan lancar tanpa sebarang masalah berikutan hasil kerjasama erat oleh kerajaan Pahang.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa projek ini tidak perlu disegerakan berikutan Selangor masih mampu menampung keperluan air penduduk Selangor melalui kajian menyeluruh oleh pakar industri air berdasarkan jumlah penggunaan air, kapasiti pengeluaran air, dan bekalan air yang sedia ada sehingga 2019. Kerajaan Negeri Selangor juga berpendapat jumlah anggaran kos projek ini terlalu besar dan akan meningkatkan beban hutang kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor juga memberitahu masalah ini dapat diatasi dengan mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama Kerajaan Persekutuan dan Selangor. Selain itu, penggunaan sumber alternatif air, pengurangan kadar air tanpa hasil (NRW) dan sistem penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna.

Perlu diingatkan, kesedaran pengguna terhadap penggunaan air berhemat amat tipis seperti tipisnya kulit bawang. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna, namun hanyalah sia-sia laksana layang-layang melawan angin. Penangguhan projek kepada tahun 2019 hanya akan menjadikan kos yang sedia ada semakin bertambah berikutan terpaksa menghadapi risiko masalah yang akan timbul dari penangguhan ini.

Sejauh mana ketelusan dasar dalam memastikan pelaksanaan sesuatu sistem yang cekap? Sekiranya segalanya berlaku seperti yang dirancang, sudah tentu tiada masalah lain yang timbul sehingga menyebabkan pencemaran sungai dan sumber air terjejas berikutan isu perlombongan pasir. Oleh itu, fikir-fikirkanlah, tepuk dada tanya selera.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia